Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata beliau telah menerima laporan penuh mengenai kegiatan di Pulau Besar dan meminta agar satu muzakarah melibatkan meja besar dilakukan bagi mencari pendekatan paling sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.

"Ketika saya menemuramah mereka (pihak penganjur program di Pulau Besar), rata-rata mempertahankan bahawa mereka melakukan cara yang betul kerana masing-masing membawa fahaman daripada sesetengah sudut fahaman dalam dunia ini.

"Saya memberitahu mereka amalan yang dilakukan adalah bertentangkan dengan akidah Islam dan ia perlu dibanteras...oleh itu satu perbincangan yang lebih luas perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Seri Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Bernama mengenai amalan khurafat yang berterusan di pulau tersebut.

Katanya tidak dinafikan terdapat kepercayaan lain yang melakukan acara ibadat di Pulau Besar dan perkara tersebut perlu segera diambil tindakan kerana terdapat unsur khurafat dan penyelewengan akidah yang nyata. - Bernama