Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan generasi pelapis negara menjadi masyarakat bermaklumat menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Bagi menjayakan matlamat itu, beliau meminta sektor korporat, syarikat yang disenarai  di Bursa Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membantu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan menjadikan perpustakaan sebagai 'anak angkat' dalam program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

"Proses untuk memperoleh maklumat bukan sahaja melalui saluran pendidikan formal di sekolah-sekolah yang sedia ada, malah pelajar perlu memperoleh maklumat dari sumber lain.

"Kewujudan perpustakaan digital yang diusahakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan PNM merupakan langkah yang perlu diikuti," katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Perpustakaan Digital Bagan Datuk di Dataran Amanjaya Bagan Datuk di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pengarah PNM Datuk Nafisah Ahmad.

Ahmad Zahid berkata mana-mana syarikat yang melakukan CSR pendigitalan juga akan dikecualikan daripada cukai korporat.

"Mana-mana syarikat yang melakukan CSR, saya minta mereka diberikan pengecualiaan cukai korporat agar insentif dapat diberikan oleh mereka sekaligus menjadi penggalak kepada usaha kerajaan untuk mendigitalkan semua perpustakaan awam di negara ini," katanya.

Perpustakaan Digital Bagan Datuk, yang bakal dibina ini berhampiran Bagan Datuk Waterfront dengan kos RM5.4 juta, adalah yang pertama di negara ini.

Ia turut melibatkan reka bentuk bangunan ikonik melambangkan intelektual, moden dan futuristik dengan menekankan kaedah Rumah Hijau yang menepati Green Building Index (GBI). 

Projek itu dapat memanfaatkan 70,300 penduduk daerah Bagan Datuk serta penduduk kawasan sekitar  agar mereka terus menikmati arus pembangunan ekonomi dan prasarana digital. - Bernama