Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah melupakan dan mengetepikan kebajikan rakyat dengan memberikan layanan yang sama rata kepada semua murid.

Beliau berkata, sebagai contoh, di Pulau Pinang, kementerian telah menyalurkan lebih RM88 juta melalui Peruntukan Bantuan Persekolahan KPM kepada 1,412,683 murid bagi tahun 2017.

“Bantuan persekolahan ini terbahagi kepada tiga kategori utama. Pertama, bantuan umum sebanyak RM38 juta (Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan dan Bayaran Kokurikulum Sekolah).

“Kedua, bantuan khusus berjumlah RM36 juta (Bantuan Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia, Biasiswa Kecil Persekutuan, dan Biasiswa Sukan).

“Ketiga, bantuan secara one off bernilai RM14 juta (Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia),” katanya.

Alias berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Pendidikan KPM di pusat beli-belah AEON Mall, Alma, Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurutnya, KPM juga sentiasa prihatin dalam memastikan bangunan sekolah selamat dan boleh digunakan untuk sesi pembelajaran dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Dalam melaksanakan projek pembangunan semula sekolah daif di Semenanjung Malaysia seperti mana pengumuman Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2017 yang menyasarkan pembaikan sekolah daif di Semenanjung Malaysia.

“KPM komited melalui tindakan yang lebih proaktif bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan di sekolah sentiasa dalam keadaan kondusif bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sistem pendidikan di negara ini, Alias berkata, pelbagai cabaran yang menuntut anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungan agar ia terus relevan.

“Ledakan teknologi dan revolusi digital menyaksikan perubahan ke atas persekitaran global. Sejajar dengan perubahan tersebut, anak-anak kita kini berdepan dengan persaingan global dan transformasi alaf baharu dunia pendidikan yang serba pantas, sekali gus menuntut kita sebagai ibu bapa dan guru untuk turut bersedia mendepani cabaran seiring dengan arus perubahan yang berlaku,” katanya.

Tambah Alias, kementerian telah menyediakan pelan pendidikan yang holistik dalam melengkapkan anak-anak untuk bersaing di peringkat global pada masa hadapan.

“Atas dasar itulah, KPM melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025. Pelan jangka panjang ini merupakan manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh bagi mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pelan unik itu juga memberi tumpuan kepada keberhasilan dan kemenjadian murid merangkumi semua peringkat persekolahan daripada peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat lepasan menengah.

“PPPM 2013-2025 juga menggariskan kepentingan untuk membangunkan potensi murid yang mempunyai kecen­derungan dalam pelbagai minat dan kebolehan melalui peningkatan 20 peratus enrolmen pelajar dalam sistem pendidikan vokasional, sekali gus memastikan sistem pendidikan ini tidak tercicir daripada arus perdana.

“Inisiatif ini seiring dengan agenda ekonomi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Dijangkakan sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan sasaran sebanyak 60 peratus daripada pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET),” katanya.

Mengenai Program Jelajah Pendidikan KPM yang berteraskan slogan ‘Menerajui Perubahan’, Alias berkata, program tersebut memberi fokus kepada jerayawara kejayaan KPM membangunkan murid yang bersedia mendepani cabaran global dan mencapai Enam Aspirasi.

“Menerusinya, kementerian telah menyediakan kurikulum yang selaras dengan standard antarabangsa, pentaksiran yang holistik, guru dan pentadbir berkualiti serta akses kepada pelbagai laluan Pendidikan Abad ke-21 dengan kerjasama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta,” katanya.

Bermula Januari tahun 2017, KPM telah mengadakan Program Jelajah Pendidikan di Kedah, Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Kelantan, Sabah, Sarawak, Perak, Pahang dan yang terakhir di Pulau Pinang.