Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, ia susulan kejadian kebakaran yang semakin meningkat melibatkan premis kilang dan Industri Kecil dan Sederhana di negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak 39 kes kebakaran kilang direkodkan sejak awal tahun sehingga Jun lalu.

"Statistik ini tidak termasuk kebakaran yang berlaku pada bulan ini yang mana melibatkan beberapa buah kilang kimia di kawasan perindustrian sekitar Pulau Indah.

"Hasil daripada siasatan kita, kebakaran melibatkan premis kilang adalah paling banyak berlaku di Zon 3 Klang iaitu sebanyak 11 kes (tidak termasuk dua kes kebakaran kilang kimia minggu lalu),"katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima sebuah van jenazah hasil sumbangan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng ataupun lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, data berkenaan penting bagi memastikan pihaknya dapat mengenal pasti jenis bantuan menyelamat yang sesuai digunakan jika berlaku sebarang kejadian kecemasan.

Katanya, bukan semua kebakaran boleh dipadamkan dengan menggunakan air berikutan terdapat sesetengah bahan kimia akan bertindak balas dengan air.

"Contohnya seperti kebakaran tiga kilang minggu lepas melibatkan kilang kimia, kita tidak tahu kilang itu simpan bahan apa dan ketika anggota sedang memadam kebakaran ia meletup dan menyebabkan tujuh anggota cedera.

"Mujurlah ketika itu, anggota tidak berada di dalam kilang semasa letupan, jika tidak saya pasti kecederaan anggota lebih parah dan mungkin menyebabkan kematian,"jelasnya. - K! ONLINE