Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, sehingga kini 16 kertas siasatan telah dibuka berkaitan kes tersebut.

Katanya, terbaharu dua lelaki masing-masing pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ ditahan di Seri Kembangan, Selangor dan pemilik Twitter dikenali sebagai Alvin Chow yang menghina agama Islam, Nabi Muhammad dan isteri ba­ginda, Saidatina Aisyah di laman sosial ditahan di pusat beli-belah Plaza Pudu, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, tiga lelaki ma­sing-masing di Labuan, Sabah; Bau, Sarawak; dan Petaling Jaya, Selangor direman bagi membantu siasatan terhadap komen jelik yang dimuat naik mereka di Facebook masing-masing.

Kesemua mereka tidak termasuk dua lelaki yang telah didakwa masing-masing di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan dan terpaksa bermalam di penjara ekoran kegagalan membayar wang jaminan sebanyak RM20,000.

Seorang lagi lelaki yang juga operator kilang juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sama.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Kes ini juga menuntut ribuan umat Islam di negara ini mengadakan himpunan secara aman bagi membantah tindakan beberapa individu yang menghina Rasulullah selain mendesak tindakan diambil terhadap pelaku perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Perhimpunan itu merupakan inisiatif orang ramai bertujuan mempertahankan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi selain mendesak kerajaan untuk tidak mengambil ringan tentang isu penghinaan agama yang boleh menyemai kebencian kaum di negara ini.

Penulis percaya, ramai lagi umat Islam yang memprotes tindakan tersebut dan memohon agar si pelaku meminta maaf atas keterlanjuran perbuatan berkenaan.

Seorang rakan penulis menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau dan mampu menggugat keharmonian menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan benci-membenci atau niat jahat atas alasan agama.

Bimbang dengan situasi ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut melahirkan kekecewaan dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Bagi membendung gejala penghinaan ini agar tidak terus berlaku tanpa kawalan, Sultan Selangor mengingatkan rakyat terutama yang bukan beragama Islam supaya menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Nabi Muhammad dan mencemar kesucian agama Islam.

Titah baginda, perbuatan tersebut bukan sahaja boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat, malah boleh menyebabkan rusuhan antara kaum serta agama yang akan mengakibatkan permusuhan berpanjangan di negara ini.

Sudah 62 tahun negara kita merdeka dan puluhan tahun itu jugalah kita hidup bermasyarakat dengan rakyat yang berbilang agama dan kepercayaan namun mengapa isu penghinaan ini boleh berlaku?

Penulis ingin mengajak masyarakat di negara ini agar menghormati kepercayaan, adat dan budaya pelbagai kaum di negara ini. Sikap saling menghormati adalah nilai paling asas yang perlu ada dalam diri kita sebagai manusia.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran, kita wajib menghormati agama yang dianuti orang lain sebagaimana kita mahu individu lain menghormati agama dan kepercayaan kita.

Sikap hormat-menghormati adalah antara kunci kepada keamanan dalam kehidupan kita di Malaysia yang berbilang kaum. Jagalah adab ma­sing-masing.