Kedua-dua suspek berusia 17 dan 20 tahun itu diberkas pukul 2.30 petang. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, mereka dikehendaki selepas menyamun dua pekerja warga Nepal berusia 25 tahun yang sedang menunggang basikal pulang ke asrama mereka di Jalan Radin, Sekinchan. 

Katanya, dalam kejadian  pukul 8 malam pada Jumaat lalu itu, salah seorang suspek telah bertindak mengacu sebilah pisau pemotong daging ke arah mangsa. 

"Kedua-dua mangsa yang bimbang keselamatan mereka telah menyerahkan dompet mengandungi kad mesin juruwang automatik (ATM) dan wang tunai lebih kurang RM60. 

"Polis yang menjalankan siasatan lanjut kemudiannya menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah di Jalan Bagan Sungai Labu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Kata beliau, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai tiga rekod lampau melibatkan kes pecah rumah dan narkotik. 

Jelas Chee Khoon, ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu. 

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga 25 Mei dan kes siasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE