Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong (gambar kecil) berkata, perkara itu telah disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerusi ujian makmal yang dilakukan.

Katanya, kesemua pesakit berusia antara enam hingga 56 tahun itu bagaimanapun telah diberikan rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Walaupun telah dibenarkan pulang, pesakit terbabit masih di bawah tempoh kuarantin sekurang-kurangnya selama tujuh hari.

“Setakat ini tiada kes baharu dikesan dan wabak diisytiharkan tamat pada 6 Februari lalu," katanya pada sidang akhbar berhubung wabak itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Leong berkata, aktiviti kawalan seperti pencarian dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan kabus dan tindakan penguatkuasaan telah pun dijalankan meliputi seluruh kawasan serta di sekitar 500 meter radius di taman terbabit.

"Jabatan kesihatan turut mengeluarkan 25 kompauan dan tiga notis kebersihan kepada penduduk di kawasan itu selepas mendapati keadaan persekitaran mereka tidak memuaskan.

"Kita menasihatkan orang ramai yang mempunyai simptom Chikungunya seperti demam panas mengejut, sakit sendi, ruam dan lain-lain gejala termasuklah sakit kepala, sakit perut, loya serta sakit mata mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya.

Jelasnya, wabak Chikungunya adalah disebabkan virus Chikungunya disebarkan oleh nyamuk Aedes iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan penyakit Denggi. - K! ONLINE