Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, jalan yang ditutup adalah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Saujana, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Lebuh Setia.

“Lebih 3,000 orang dijangka akan menghadiri sambutan tersebut dan pihak Polis Kuala Lumpur telah mengatur penugasan daripada segi keselamatan dan lalulintas untuk memastikan sambutan berjalan lancar.

“Lencongan dan penutupan jalan itu akan dilaksanakan secara berperingkat seawal pukul 6 pagi sehingga selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan Bek menambah, para pengunjung juga boleh meletakkan kenderaan di lebih 5,000 ruang parkir awam di sekitar Putrajaya.

“Bagi memudahkan orang ramai ke lokasi sambutan, terdapat bas yang disediakan di pusat mengambil dan menurunkan penumpang.

“Antara pusat mengambil penumpang adalah di Stesen Putrajaya Sentral, My Farm, Ayer 8, Parkir Awam Presint 14, Kementerian Pengajian Tinggi, Taman Seri Empangan, Park & Ride Presint 14 dan Parkir Kompleks E,” ujarnya.

Pusat menurunkan penumpang pula ditetapkan di Kiblat Walk dan belakang bangunan Istana Kehakiman.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif dan mengelakkan daripada menggunakan jalan yang ditutup atau dilencongkan.

“Orang ramai dan pengguna jalan raya perlu merancang perjalanan dengan baik dan menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Peraturan lalu lintas dan arahan pegawai serta anggota bertugas juga harus dipatuhi selain menjaga keselamatan diri dan barangan peribadi ketika berada di lokasi sambutan,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di talian 03-8886 2222 atau Hotline Trafik Kuala Lumpur di talian 03-2071 9777. - K! ONLINE