"Justeru, saya berharap masyarakat akan menyokong segala usaha kerajaan mengukuhkan perpaduan," kata Waytha Moorthy kepada media selepas merasmikan Festival Songkran peringkat negeri Perlis di Wat Macchimaprasit, Jejawi di sini hari ini.

Sambutan itu yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Siam Bersatu Perlis bermula semalam dihadiri lebih 5,000 orang.

Turut hadir, Wakil masyarakat Siam Senator Aknan Ehtook.

Waytha Moorthy yang bertangjungjawab mengenai perpaduan dan kesejahteraan sosial berkata, beliau akan membawa isu-isu masyarakat Siam untuk dibincangkan di peringkat menteri antaranya pendidikan dan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan.

Mengenai permintaan mereka untuk membina krematorium berharga kira-kira RM300,000 di Wat Macchimaprasit, Waytha Moorthy berkata, beliau akan memohon bantuan kerajaan supaya ia dapat dibina dan turut dikongsi oleh masyarakat Tionghua, India dan Sikh.

Beliau berkata, masyarakat Siam di Perlis berjumlah lebih 8,000 orang pada masa ini dan terpaksa pergi hampir 100 kilometer ke Sungai Petani, Kedah untuk urusan pembakaran mayat.

"Saya juga akan membincangkan permintaan mereka dengan kementerian berkaitan untuk menjadikan sambutan Songkran atau Pesta Air pada 13 April dimasukan dalam kalendar pelancongan Malaysia," tambahnya. - Bernama