Chong Wei misalnya, siapa tidak mengenali pesona yang dimiliki jagoan badminton negara itu. Tidak kira peringkat usia mahupun lapisan kaum, boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia, malah warga luar negara cukup mengenali sosok tubuh bernama Chong Wei. Beliau juga amat disenangi kawan mahupun lawan, baik di dalam atau di luar gelanggang.

Bila dikhabarkan Chong Wei menghidap kanser hidung tahap pertama, dunia sukan ter­utamanya badminton ‘tersentap’ seketika. Ada sesetengah peminat badminton yang terkejut dengan berita tersebut sehingga sukar mempercayai apa yang menimpa bekas pemain No. 1 dunia itu. Ramai tertanya-tanya, adakah Chong Wei akan kembali ke gelanggang atau ‘menggantung raket’ buat selama-lamanya.

Namun, satu per­khabaran yang mampu mencetus kegembiraan buat peminat dan penyokong sukan negara apabila Chong Wei baru-baru ini dikatakan sedia kembali turun ke gelanggang badminton. Berita itu sudah cukup membuktikan betapa Chong Wei benar-benar memiliki semangat juang tinggi. Dalam keadaannya sebegitu, semangat Chong Wei masih tidak luntur mengerah keringatnya selagi terdaya.

Cerita Ridzuan Puzi yang lebih mesra disapa Dik Wan juga tidak kurang hebatnya. Dalam kala­ngan komuniti orang kelainan upaya, nama Dik Wan cukup dikenali. Bagi peminat sukan negara pula, nama Dik Wan mula meniti di bibir ketika berlangsungnya temasya Sukan Para­limpik 2016 di Brazil. Ketika itu, anak jati Perlis itu muncul antara atlet para­limpik negara yang meraih pingat emas.

Pada Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Dik Wan sekali lagi mencipta sensasi. Dik Wan menggondol tiga emas menerusi acara 100 meter (m), 400m dan lompat jauh, ke­semuanya dalam kategori T36 (se­rebral palsi). Di sebalik kejayaan gemilang itu, mungkin ada yang tidak tahu Dik Wan terpaksa menahan keperitan akibat kecederaan yang dialami.

Pendedahan oleh jurulatihnya, R. Jaganathan yang mengatakan Dik Wan sanggup menahan kesakitan demi Malaysia wajar disanjung tinggi. Biarpun me­ngalami kecederaan serius apabila urat saraf putus dan hamstring, Dik Wan sanggup mengambil risiko untuk menghadiahkan emas buat Malaysia dalam acara lompat jauh – emas ketiganya di Jakarta.

Ternyata semangat dan pe­ngorbanan atlet istimewa berusia 31 tahun itu cukup berbaloi. Dik Wan telah membuktikan kepada warga Malaysia dan bahawa dia semenangnya luar biasa. Tanpa semangat juang tinggi, mungkin agak sukar Dik Wan untuk menyum­bang tiga emas buat kontinjen Malaysia. Dik Wan telah membuktikan kepada kita bahawa berbekalkan semangat, bukan sesuatu mustahil untuk menggapai kejayaan yang diimpi.

Berlainan pula dengan kisah Sumareh. Beliau bukan anak jati tempatan tetapi sema­ngat yang ada dalam dirinya sebagai ‘anak Malaysia’ cukup me­nebal. Nama Sumareh tidak asing lagi bagi peminat, penyokong dan pemerhati bola sepak Malaysia. Beliau mula dikenali ketika mewakili Polis Diraja Malaysia pada tahun 2013.

Selepas sah mendapat taraf kewarganegaraan April lalu, pemain sayap lincah Pahang itu disebut-sebut bakal menyarung jersi Harimau Malaya. Selepas beberapa bulan menunggu ak­hirnya Sumareh mendapat ‘lampu hijau’ Persatuan Bola Sepak Malaysia. Sejarah tercipta apabila Sumareh, 23, kini menjadi pemain naturalisasi pertama memperkuat cabaran Harimau Malaya.

Sumareh tidak menunggu lama untuk membawa impak positif di kem Harimau Malaya. Tampil kali pertama, Sumareh sudah meledak dua gol bagi membantu Harimau Malaya membenam Sri Lanka 4-1 pada aksi persahabatan di Colombo Jumaat lalu. Melihatkan kelibatnya di tengah padang, tiada siapa boleh me­ragui ‘semangat Malaysia’ yang ditonjolkan pemain kelahiran Gambia itu.

Bagi penulis, ini antara secebis cerita semangat dan pe­ngorbanan atlet sukan negara di gelanggang pertarungan ma­sing-masing. Kita sebagai rakyat Malaysia terutamanya pencinta sukan tanah air harus teguh memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik kepada mereka.