Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, ia bagi mengelakkan sebarang penipuan atau kekeliruan berhubung penetapan kadar sifar peratus GST yang bermula hari ini.

"Berdasarkan pemeriksaan hari ini, terdapat beberapa kedai masih memaparkan harga lama tetapi di dalam sistem harga itu telah ditukar (tanpa GST), hanya pada resit tertera sifar peratus GST.

"Sebab itu pengguna atau pembeli perlu lihat resit sama ada tertera atau tidak sifar peratus GST itu dan kalau masih ada yang mengenakan enam peratus, mereka diminta membuat aduan kepada pihak berwajib," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan perubahan GST bersama kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  Perak di sebuah pusat membeli belah di sini hari ini.

Sivanesan berkata, pengguna perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

"Bagi pasar raya atau syarikat besar, saya tidak rasa mereka akan ambil risiko untuk tidak mengikut peraturan, yang saya risaukan kedai-kedai kecil, namun saya yakin dan percaya pihak KPDNKK dan JKDM akan membuat pemantauan di seluruh negeri," katanya.

Menurut beliau, seramai 292 pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga KPDNKK telah mengumpul maklumat mengenai kedudukan harga barang dan perkhidmatan peringkat runcit di semua jenis perniagaan yang berdaftar GST dengan KJDM seluruh  Perak.

Para peniaga diberi tempoh selama 30 hari bermula 1 Jun bagi mengemaskini tanda harga berdasarkan kadar sifar GST dan sekiranya gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999. - Bernama