Berdasarkan pertumbuhan tersebut, banyak agensi pelancongan dan orang perseorangan mengambil peluang untuk mempromosikan pakej pelancongan ke negara-negara popular pada harga yang sangat berpatutan terus meningkat.

Media sosial menjadi platform utama bagi syarikat tersebut mempromosikan pakej pelancongan masing-masing dengan menggunakan ayat-ayat iklan popular yang pastinya akan menggalakkan pelanggan yang berminat untuk menghubungi mereka semula.

Tidak hairanlah ayat seperti pakej murah, berbaloi dan bayaran ansuran mampu menggoda pelanggan untuk melanggan pakej yang ditawarkan.

Bayangkan jika anda membaca promosi ‘Pakej Murah Berbaloi ke Kashmir pada harga RM900 seorang’, sudah pasti ia akan menarik minat orang ramai untuk menghubungi agensi pelancongan yang mengendalikan operasi tersebut.

Namun dalam keterujaan anda merancang untuk melancong dan memilih pakej-pakej murah tersebut, pastikan dahulu, sama ada syarikat tersebut berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan menyemak latar belakang syarikat termasuk testimoni pelanggan sebelum ini.

Kenyataan tersebut diperkukuhkan lagi oleh Pengarah Urusan Kumpulan My Altitude Group, Khairul Nizam Amat Zaini yang terkenal dengan pakej Trip Muslim Asia dalam pertemuan dengan usahawan berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perbualan itu memberi peluang kepada saya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan isu semasa berkaitan industri pelancongan dan permasalahannya.

Saya turut mengaku pernah mengikuti pakej pelancongan di bawah syarikat yang tidak berdaftar de­ngan pihak berkuasa sebelum ini.

Menurut beliau, itu merupakan satu perkara yang mendatangkan risiko berbahaya jika berlakunya kemalangan di luar negara.

Tambahnya, menjadi satu masalah besar jika berlaku kemalangan maut di sana kerana segala urusan berkaitannya akan menjadi terlalu sukar dan rumit.

Khairul Nizam berharap orang ramai melayari laman web kementerian terbabit untuk mendapatkan maklumat mengenai agensi pelancongan yang didaftarkan atau sebaliknya.

“Lumrah orang Malaysia, suka memilih pakej pelancongan yang murah tetapi mereka sebenarnya terdedah kepada risiko sekiranya berlaku kematian atau kemalangan di luar negara,” ujarnya.

Selain itu, orang ramai yang telah melanggan pakej pelancongan haruslah mengambil inisiatif untuk membeli insurans pelancongan bagi melindungi keselamatan termasuk pelbagai isu berkaitan kelewatan penerbangan dan kerosakan beg di lapangan terbang.

Harga premium yang ditawarkan juga adalah sangat murah dan ia boleh dilanggan secara dalam online, pastinya ia memberi manfaat untuk kepada pelancong sepanjang mereka bercuti di luar negara.