Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah sebelum solat sunat Aidiladha, sambutan kemudiannya diikuti dengan ibadah korban iaitu penyembelihan binatang korban seperti unta, lembu atau kambing sebagai simbolik memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya, Nabi Ismail.

Ibadah korban yang dilakukan pada setiap tahun ini sebenarnya mempunyai hikmah yang sangat besar kepada kita. Antaranya ia dapat memupuk sikap ambil peduli atau prihatin golongan berada iaitu mereka yang melakukan ibadah tersebut terhadap ahli keluarga dan masyarakat sekeliling yang kurang bernasib baik.

Ini kerana apabila seseorang itu melakukan ibadah korban, golongan yang harus diutamakan dalam peng­agihan daging korban tersebut ialah fakir miskin khususnya dalam kalangan keluarga mereka yang terdekat terlebih dahulu. Baki daging yang lain pula diagihkan kepada fakir miskin yang terdiri daripada jiran tetangga mereka.

Bagi membolehkan daging-daging korban itu sampai kepada golongan fakir miskin tersebut, mereka yang melakukan ibadah korban itu sudah pasti perlu mengetahui keadaan kehidupan kaum keluarga yang susah atau keadaan jiran tetangga yang hidup dalam keadaan daif atau kurang bernasib baik.

Melalui proses pemberian daging korban tersebut, ia secara tidak langsung akan mewujudkan hubungan antara si pemberi dengan si penerima. Melalui agihan daging korban tersebut, ia juga mewujudkan satu masyarakat yang prihatin yang saling mengambil tahu antara sama lain serta merapatkan jurang antara golongan berada dengan mereka yang hidup dalam kesusahan.

Perkongsian rezeki kurniaan Allah melalui agihan daging korban itu juga akan dapat membantu meringankan beban kesusahan golongan fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Justeru, mana-mana pihak yang melakukan ibadah korban, seharusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengagihkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada daging korban mereka dengan mengutamakan pemberiannya kepada golongan fakir miskin.

Selain itu, hikmah ibadah korban juga sebenarnya dapat melatih dan membentuk kita supaya sanggup berkorban khususnya dalam berkongsi nikmat rezeki kurniaan Allah demi kepentingan orang lain atau dengan kata lain dapat menghakis sifat berkira atau kedekut dalam diri seseorang.

Pada kebiasaannya, mereka yang sanggup berkorban akan mengeluarkan wang untuk membeli ternakan korban tanpa terlalu banyak pertimbangan walaupun menyedari harga untuk seekor ternakan sentiasa meningkat saban tahun. Apabila sifat bakhil sudah terhakis daripada dalam diri kita, maka sudah tentu melalui ibadah korban yang dilaksanakan itu akan dapat menanam sifat-sifat terpuji serta nilai-nilai murni ke dalam diri seseorang termasuk meneladani sifat kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Umat Islam yang melakukan ibadah korban hendaklah dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan bukannya dengan niat-niat lain seperti untuk dilihat hebat oleh masyarakat atau ingin mendapat pujian daripada manusia sehingga wujudnya sifat riyak dalam diri kerana kita bimbang segala ibadah korban yang dilakukan itu kelak hanya akan menjadi sia-sia.

Selamat menjalani ibadah korban dan selamat menyam­but Hari Raya Aidiladha kepada semua.