Kayuhan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hikers Climbers dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling bermula dari Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, menerusi acara itu para peserta akan mengagihkan kira-kira 1,000 bendera Jalur Gemilang di empat perhentian ditetapkan antaranya sekolah, premis dan kawasan kediaman.

“Langkah ini bagi menanam semangat cintakan negara dan menghargai erti kemerdekaan di kalangan penduduk bandar Shah Alam.

"Program sebegini juga dapat memberi satu tarikan baharu kepada masyarakat kita, selain dapat memupuk minat orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan merapatkan hubungan, khususnya warga bandar raya ini," katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta kayuhan kemerdekaan di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap program berunsur patriotik sedemikian dapat terus dianjurkan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) bagi memupuk semangat kecintaan negara dalam diri masyarakat.

“Kita harus berbangga sebagai rakyat Malaysia yang dapat mengecap nikmat kemerdekaan dan menghargai kemerdekaan dengan mengisi program seperti ini,” katanya. - K! ONLINE