Perjalanan kerjayanya dalam pasukan ke­selamatan itu sangat berliku. Selepas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri atas sebab-sebab tertentu beberapa tahun lalu, siapa sangka beliau kini menjadi orang nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia.

Semuanya itu sudah menjadi suratan. Tiada siapa boleh menyangkalnya. Alhamdulillah.

Sebelum timbulnya isu video intim lelaki de­ngan lelaki yang didakwa melibatkan ahli politik, Abdul Hamid ketika ditemuramah oleh keba­nyakan media ketika 100 hari pertama sebagai KPN dengan tegasnya memberi amaran kepada pegawai polis supaya memutuskan hubungan dengan tauke judi dan maksiat.

Beliau bersungguh-sungguh mahu mele­nyapkan amalan tersebut walaupun terpaksa berdepan dengan ugutan dan risiko yang mungkin diberikan oleh tauke-tauke judi dan maksiat.

Ketika isu itu hendak sejuk, Abdul Hamid sekali lagi menjadi tumpuan. Tidak lain tidak bukan isu penyebaran video seks songsang yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada sidang akhbar di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, Abdul Hamid mendedahkan yang dia menerima tekanan daripada pembangkang yang mendesaknya supaya mengesahkan ketulenan video tersebut.

“Kes itu hanya membuang masa saya dan polis,” katanya.

Kelmarin, Abdul Hamid mendedahkan siasatan polis ke atas kes pencemaran Sungai Selangor bukan disebabkan oleh unsur sabotaj sebaliknya ia berpunca daripada kecuaian pekerja syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk membersihkan sungai tersebut.

Jika diteliti, kesemua kes yang disebutkan di atas memerlukan rangkaian atau penglibatan pihak tertentu. Tugas polis ialah mencari kebenaran di sebalik laporan atau kes yang diterima sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

Dalam kes pencemaran sungai, pihak yang melakukan kesalahan pantas mencari kambing hitam bagi menutup kelemahan dirinya. Watak pemancing direka bagi mengalihkan perhatian namun hasil kecekapan polis, mereka mendapati laporan yang dibuat ternyata palsu.

Kes itu mendapat perhatian ramai kerana ia menjejaskan bekalan air kepada 1.19 juta akaun pelanggan di Lembah Klang sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan kenyataan pihak yang menyebabkan pencemaran itu boleh dikenakan hukuman amat berat termasuk mati.

Begitu juga dengan kes video songsang. Sehingga kini, kes itu masih tiada pendakwaan ke atas mana-mana pihak. Arahan lanjut daripada Peguam Negara pun belum dikeluarkan.

Seharusnya pihak berkuasa jangan bermain tarik tali dengan isu tersebut kerana penyelesaian segera akan memberikan kelebihan kepada kerajaan untuk meredakan isu yang kini menjadi persoalan kepada rakyat.

Dakwa mereka yang terlibat mengikut bukti-bukti yang ada. Hanya dengan cara itulah sahaja dapat mengembalikan keyakinan rakyat kerana kebenaran tidak akan pernah kalah dengan kepalsuan.