Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sesiapa sahaja yang didapati bersalah melakukan pengubahsuaian motosikal akan dikenakan tindakan oleh pihaknya.

"Kita memang (sedang) kumpul maklumat dan jika ada berlaku tangkapan semasa pemeriksaan atau menahan mereka, kita akan ambil tindakan ikut undang-undang tidak kira orang biasa atau artis.

"Saya minta (selebriti) hentikanlah kegiatan mempromosikan dan mengubahsuai motoskal, bahkan bantulah pihak polis untuk berkempen menyedarkan anak muda tentang bahayanya menunggang motosikal kerana jumlah kemalangan maut di kalangan mereka adalah tinggi iaitu 65 peratus setiap tahun," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kerjasama Flex Penang yang disempurnakan Katua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran di Prai di sini.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam perkembangan berbeza, Azisman berkata, satu pasukan khas dikenali Skuad 42 ditubuhkan pihaknya sejak Januari lalu yang menyamar dalam kalangan pelesit rempit sebagai usaha pihaknya mengekang kegiatan lumba haram.

"Pendekatan kita tidak lagi seperti dahulu, seperti tangkapan beramai-ramai di awal pagi dan sekatan jalan raya yang membahayakan anggota yang dilihat kurang efektif.

"Kini, pegawai dan aggota trafik berpakaian biasa bagi memerhati dan merekod maklumat kegiatan mereka berlumba untuk diambil tindakan di mahkamah dengan bukti-bukti yang ada seperti gambar," katanya. - K! ONLINE