Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi terlibat dan keselamatan di kalangan penduduk negeri bagi menghadapi situasi bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Katanya, kerajaan negeri bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Penyelidikan Antarbangsa Sains Bencana (IRIDeS) telah memulakan kajian laporan risiko bencana selama empat tahun bermula Mac tahun lalu. 

"Berdasarkan hasil laporan awal mendapati perlunya pengumpulan data, peta bencana Selangor dan negara serta pembinaan komunikasi untuk berdepan bencana selepas melakukan kajian di daerah Hulu Langat, Kapar dan Klang. 

"Kita juga perlu melihat bagaimana menangani risiko selepas bencana yang kerap kali berulang sama ada melibatkan kelemahan pengurusan pentadbiran atau bencana alam," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan buku Laporan Risiko Bencana di sini. 

Menurut beliau, pangkalan data menerusi kajian itu juga dapat membantu kerajaan negeri khususnya dalam meramal sesuatu bencana yang akan dihadapi nanti. 

Ujar Amirudin lagi, sebagai contoh taburan hujan 60 milimeter boleh mengakibatkan banjir kilat dan kita sebenarnya telah mempunyai peta hampir 50 lokasi panas sejak 2010 berkaitannya dengan Jabatan Pengairan Selangor sedang berusaha mengatasinya. 

"Malaysia dalam beberapa tahun ini juga menghadapi risiko bencana seperti tempias taufan likema turut terkesan pada Selangor (Sabak Bernam) yang mengakibatkan kerosakan dan kita kena bersedia dengan perkara ini. 

"Ini termasuk dalam aspek komunikasi dan koordinasi antara jabatan kerajaan negeri dan rakyat serta struktur bangunan yang komprehensif dan mampan dapat implimentasi seperti model-model negara lain," katanya. - K! ONLINE