Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, tiga buah PPR itu terletak di tiga lokasi iaitu Kota Damansara, Kampung Baru Hicom di Shah Alam dan Serendah di bawah seliaan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd (PHSSB).

Katanya, tindakan pengusiran fasa pertama telah dimulakan pada 12 Februari lalu ke atas 10 unit di PPR Kota Damansara dan lima buah unit di PPR Hicom, Shah Alam.

"Tindakan penguatkuasan ini dijalankan ke atas penyewa-penyewa tegar yang membuat bayaran secara tidak konsisten, mempunyai tunggakan sewa bulanan setinggi RM25,250, terlibat dengan aktiviti sewa atas sewa, menceroboh unit kosong dan bukan penama asal yang menduduki unit tersebut.

"Ini dijalankan setelah notis peringatan yang dikeluarkan secara berulang kali tidak diendahkan oleh penyewa," katanya pada sidang akhbar di Lobi Bangunan Annex di sini hari ini.

Menurut beliau, kebanyakan penyewa telah menduduki PPR itu sejak tahun 2004 dengan mereka terdiri daripada kumpulan pemindahan penempatan setinggan yang telah mendapat rumah namun masih tinggal di PPR tersebut.

Ujar beliau, terdapat penyewa didapati bertindak luar batas apabila menumbuk dan mencederaakan pegawai PHSSB selepas diarahkan keluar kerana menyewakan unit kepada orang lain.

"Setakat ini, berdasarkan rekod terdapat 22 buah unit di PPR Kota Damasara dan PPR Hicom (25 unit) yang perlu dikosongkan oleh penyewa tidak bertanggungjawab ini.

"Tindakan penguatkuasan ini bagi memberikan laluan kepada 203,440 individu yang memohon ketiga-tiga PPR itu," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Haniza menjelaskan sebanyak 104 projek perumahan terbengkalai dikesan di negeri ini.

"Sebuah Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan telah ditubuhkan bagi melindungi hak pengguna berkaitannya," katanya. - K! ONLINE