Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, menerusi hub itu produk terpilih akan diberikan pengedaran dan pemberian logo khas dalam memberikan nilai tambah barangan tersebut. 

Katanya, produk yang dipilih adalah peringkat (tier) 1 yang telah melepasi syarat-syarat dibenarkan oleh pengimport sesebuah negara termasuk tanda halal dan skim pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

"Logo sedang dibangunkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dengan saya akan mencadangkan nama logo adalah Selangor Premier. 
 
"Kertas kerja berkaitan hab ini akan diserahkan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dalam tempoh tiga bulan untuk penilaian sebelum dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Terdahulu beliau merasmikan program seminar galakan pasaran tempatan dan antarabangsa agropreneur negeri Selangor yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail.

Menurut Izham, kewujudan hub itu adalah bersesuaian dengan kedudukan dan pelbagai kemudahan infrastruktur yang ada di negeri ini seperti pelabuhan dan lapangan terbang serta pelaksanaan Smart Selangor. 

Jelasnya, kerjasama akan dilakukan bersama agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor dipengerusi Rodziah Ismail.

"Setiap produk yang dipilih akan melalui proses pendaftaran, pemantauan dan kawalan ketat bagi menjamin kualitinya dengan produk dihasilkan perlu diusahakan di negeri Selangor. 

"Kita tidak mahu dengar atau lihat, produk Selangor tetapi tiada kualiti kerana ini menunjukkan identiti negeri ini," katanya.  - K! ONLINE