Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian berkata, keputusan itu dibuat berikutan terdapat kilang memproses sisa plastik yang sudah membuat pelaburan besar untuk industri itu.

"Ada pengusaha kilang yang benar-benar membuat proses kitar semula plastik dengan melaburkan wang yang banyak untuk membeli mesin dan memasang sistem canggih seperti penapis udara serta merawat air bersih.

"Ini tidak memberi masalah. Jadi mereka juga berhak walaupun kita ada memikirkan untuk mengharamkan semua kilang kitar semula ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok) meminta penjelasan berkenaan sejauh mana tindakan kerajaan negeri untuk membatalkan permit import (AP) sisa plastik.

Jelas Loy Sian adalah tidak adil kepada pemilik dan pengusaha kilang tersebut sekiranya operasi mereka dihentikan selepas membuat kos pelaburan yang besar. 

Pada 15 November lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam sidang Dewan Rakyat turut menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bercadang untuk meminda Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara bagi menghalang kemasukan sisa plastik kerana industri tersebut mendatangkan pendapatan sehingga RM30 billion kepada negara ini. 

Bagaimanapun, Zuraidah menegaskan kementeriannya telah berstuju untuk memberikan jangka masa bagi mengurangkan kadar impoirt seterusnya memproses plastik tempatan. - K! ONLINE