Masakan tidak, sepanjang tempoh 365 hari terlalu banyak perkara yang berlaku bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, tetapi juga sebagai rakyat Malaysia secara amnya.

Begitu banyak kejutan yang tidak dijang­ka berlaku dan dalam sekelip mata semua gelak tawa, pahit manis kini hanya tinggal memori yang akan disimpan rapi.

Sebagai manusia, kita sekali-kali tidak akan dapat menghentikan masa, begitu juga dengan peralihan tahun yang tidak akan menunggu kita walau sesaat.

Teruslah bergerak ke hadapan dan ja­lani kehidupan semaksimum mungkin supaya pada kemudian hari tiada sebarang rasa sesal.

Tidak kira apa posisi anda sekali pun sama ada sebagai pekerja, sahabat, anak, suami atau isteri jadilah yang terbaik. Hal ini kerana, tidak tahu sampai bila kita dapat membilang tahun dan mencipta azam baharu untuk merencana kehidupan.

Jika sudah sampai masanya, jam kehidupan pasti akan terhenti. Contohnya, tragedi tsunami Selat Sunda di Indonesia yang berlaku pada 22 Disember lalu.

Tragedi menyayat hati tersebut telah mengorbankan lebih 400 nyawa termasuk tiga anggota band Seventeen iaitu Bani, Andi dan Herman serta isteri vokalisnya, Dylan Sahara.

Biarpun kejadian tersebut tidak berlaku di Malaysia, tetapi kepiluan yang dialami mangsa yang masih hidup benar-benar memberi impak kepada kita semua.

Siapa sangka sahabat, suami, isteri dan anak hilang dalam sekelip mata, diragut tsunami yang hadir tanpa sebarang amaran.

Waktu itu sebarang penyesalan sudah tidak berguna. Apa yang tinggal ha­nyalah sisa memori. Jika manis memori yang di­tinggalkan maka, manislah untuk dikenang, begitulah sebaliknya.

Oleh demikian, hargailah kehidupan yang dikurniakan Allah sebaiknya. Sempena kehadiran 2019 pada esok hari, berlapang dada dengan sebarang cabaran dan dugaan kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Meskipun begitu, bukan bermakna kita sebagai manusia hanya berserah pada takdir sebaliknya, teruslah berusaha me­rencana kehidupan dan mencipta azam baharu supaya kehidupan 2019 lebih sukses daripada segala segi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Selamat membulatkan azam tahun baharu anda. Selamat Tahun Baru 2019!