Walaupun proses memangkah dan membuang undi tidak sesukar mana, ia sebenarnya tidaklah semudah itu. Bagi pengundi yang benar-benar sedar kepentingan mengundi, banyak perkara perlu diberi pertimbangan terlebih dulu sebelum kertas undi dipangkah.

Melainkan kalangan yang te­lah pun tetapkan dalam fikiran calon mana yang mahu dipilih, pengundi yang lain ada ciri-ciri tertentu  yang berkenan di hati.

Antaranya, rekod perkhidmatan calon  atau potensi calon-calon baharu. Kemenangan parti yang bertanding juga bergantung kepada manifesto yang dibentang atau apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat.

Maklumlah setiap keputusan yang diambil pada kertas undi akan menentukan polisi pemerintahan pada masa lima tahun akan datang.

Pada pilihan raya  umum  ke-14 kali ini  keputusannya dijangka mula diketahui mulai pukul 7.30 malam. Tumpuan pengundi akan tertumpu kepada 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan 1,646 calon.

Kali ini sebanyak 727 calon akan bertanding di bawah bendera Barisan Nasional (BN), 652 Parti Keadilan Rakyat (PKR), 551 Parti Islam Se-Malaysia (Pas) manakala 78 bebas.

Di Sabah dan Sarawak turut bertanding ialah parti-parti tempatan sama ada merupakan gabungan BN, pembangkang atau Bebas. Di Sarawak pilihan raya kali ini hanya membabitkan pertandingan di peringkat Parlimen kerana pilihan raya DUN telah diadakan sebelum ini.

Sama ada pilihan raya kali ini membabitkan parti-parti baharu atau yang telah sedia ada, pokoknya keputusannya adalah di tangan pengundi. Mereka akan membayangi dan menyatakan sikap ke atas pelbagai isu nasional atau tempatan.

Sudah pasti, pilihan raya kali ini yang dianggap ‘ibu segala pilihan raya’ membabitkan pertempuran pelbagai platform  sama ada melalui media konvensional seperti akhbar, radio atau te­levisyen atau melalui media baharu yang didakwa menyediakan capai­an yang lebih meluas.

Ini tidak termasuk perang-perang saraf yang mampu menukar sikap pengundi pada waktu-waktu terakhir undi dibuang. 

Walau apapun, kita yakin pro­ses membuang undi esok akan berjalan lancar dan aman. Rak­yat Malaysia sudah matang dalam menentukan bentuk kerajaan yang mereka mahu.

Sesama Kita – PRU adalah medan rakyat untuk menentukan masa depan dan corak pemerintahan negara yang mereka mahu. Ia sepatutnya diputuskan dengan pemikiran yang tenang bukan tempat melepaskan geram.

Keputusan untuk memangkah tidak sepatutnya hanya kerana terpengaruh dengan informasi-informasi tidak tepat, fitnah di pentas-pentas ceramah politik atau persepsi semata-mata. Sebagai pengundi atau rakyat, sudah cukupkah hak-hak yang sepatutnya mereka peroleh? 

Atau masih adakah perkara-perkara yang belum dipenuhi atau tidak selesai terutama di segi kemajuan ekonomi, keselamatan, infrastruktur asas, pertahanan, pendapatan, taraf hidup dan sebagainya.

Kesemuanya bergantung kepada penerimaan dan definisi rakyat terhadap perkara-perkara berkenaan. 

Sebenarnya, soal calon dan parti mana yang menang  tidak begitu penting kerana ia ha­nyalah satu proses demokrasi. Ini kerana pada akhirnya rakyat dan negaralah yang mendapat kesan daripada keputusan sesuatu pilihan raya.

Kita mahu sebuah negara yang benar-benar makmur kerana keputusan pilihan raya yang tulen bukan kerana berasaskan fitnah atau persepsi semata-mata.

Ingatlah memilih pemimpin adalan tuntutan agama. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Apabila tiga orang berada dalam keadaan musafir, hendaklah mereka melantik salah seorang menjadi ketua.”

Sabda ini adalah cerminan yang dikatakan oleh Baginda betapa pentingnya membuat keputusan yang tepat dalam memilih pe­mimpin. Jika hanya tiga orang sahaja dijadikan cerminan, apatah lagi cabaran untuk memilih pe­mimpin dalam kalangan 30 juta orang penduduk Malaysia.

Memilih pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat bukan sekadar memangkah. Bagi memastikan dia mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik buat agama, negara dan bangsa,  pemimpin perlulah dalam kala­ngan  yang berilmu luas, ber­akhlak tinggi, berkemampuan tubuh badan dan berintegriti tinggi.  

Apapun selepas berkempen, keputusan diketahui yang mana menang yang mana kalah, parti mana yang memerintah, bertautlah kembali demi negara tercinta. Selamat mengundi.