Hakikatnya, tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya situasi ini. Meninggalkan dan mengucapkan selamat jalan kepada cinta hati saya.

Akhbar ini ibarat cinta pertama. Walaupun pernah bertugas di dua buah organisasi media lain sebaik menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2003, namun kedua-duanya menerbitkan majalah.

Apatah lagi sewaktu memulakan tugas pada tanggal 2 Ogos 2004, akhbar Kosmo! sebenarnya belum pun terzahir secara fizikal.

Saya bersama sekitar 40 rakan wartawan menjadi kumpulan pertama dipanggil bertugas mengkarya akhbar kompak ini. Kosmo! diterbit dan dilancarkan pada 30 Ogos 2004.

Ternyata merintis kewujudan Kosmo! dalam kumpulan yang kecil apatah lagi kami pemberita muda yang baru setahun jagung dalam dunia ke­wartawanan bukanlah mudah.

Namun, kami dibimbing dan ditunjuk jalan oleh editor yang bukan calang-calang yang dibawa dari akhbar Utusan Malaysia dan majalah Massa.

Saya perlu menamakan mereka dalam karya akhir saya ini kerana tanpa mereka saya mungkin tidak berada di Kosmo! menjadi siapa saya hari ini.

Terima kasih kepada Pengarang pertama Kos­mo!, Hamzah Sidek yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama perintis Kosmo!.

Terima kasih kepada Penolong Pengarang Kos­mo! ketika itu yang kini merupakan Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin untuk segala ilmu penulisan. Beliau juga merupakan ketua saya sewaktu di majalah Massa.

Beliaulah yang pada hari pertama saya be­kerja di Massa, saya sudah ‘dikerjakan’ bertugas sehingga pukul 12 tengah malam menulis mengenai komunis Melayu. Tapi itulah ilmu beliau yang saya pegang hingga sekarang berusaha dan mencuba sebelum berkata tidak!

Terima kasih juga kepada Penolong Pengarang 1 Kosmo!, Mohd. Nor Ab. Samad dan Penolong Pengarang 2 Kosmo!, Lokman Othman atas segala bimbingan.

Tidak ketinggalan juga ketua-ketua saya di meja Rencana, Hiburan dan Berita antaranya Zuki Pileh, Najibah Hassan, Yusman Awang, Wan Hasnan Wan Hassan dan Samsor Junet yang tidak pernah berputus asa untuk mendidik saya serta sekalian wartawan Kosmo!.

Apa yang pasti selama 14 tahun tiga bulan, Kos­mo! bukan hanya tempat saya mencari rezeki. Kos­mo! telah menjadi satu universiti kehidupan buat saya.

Universiti kehidupan yang bukan sekadar me­ngajar saya menjadi pemberita untuk menulis dan berkarya bahkan mendidik saya untuk ber­usaha serta tidak putus asa walau apa pun pancaroba.

Namun, hari ini saya perlu meletakkan noktah dalam coretan sebagai warga Kosmo!. Perlu me­ngucapkan selamat tinggal kepada apa yang saya cintai dan ghairahkan selama lebih 14 tahun ini.

Untuk sahabat yang masih berkarya di sini, berusahalah untuk menggagahi Kosmo! kekal sebagai akhbar bahasa Melayu nombor satu negara.

Terima kasih ‘kekasih’ untuk kenangan 14 tahun yang indah!