Masakan tidak, berita gembira tersebut hadir tatkala beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan.

Tanpa menghebahkan kepada umum ­Michael, 43, sebenarnya telah memeluk agama Islam sejak lebih setahun lalu. Sebagai Muslim, lelaki itu memilih untuk kekal de­ngan nama asalnya Michael Ang Hai Swee.

Namun, satu perkara yang begitu menarik perhatian penulis adalah alasan di sebalik keputusannya untuk merahsiakan berita pengislamannya selama lebih setahun sebelum kad perakuan Islamnya tersebar.

Menurut pengarah drama Suri Hati Mr. Pilot itu, selain menganggap penghijrahannya sebagai urusannya dengan Allah sahaja, Michael sebenarnya cukup bimbang penerimaan netizen terhadap beritanya bergelar seorang mualaf.

Tanpa berselindung, Michael bimbang akan dikecam netizen kerana dia sebelum ini dikenali sebagai selebriti bermulut ‘lahar’ dan lantang bersuara dalam sesuatu isu.

Bagaimanapun telahannya meleset apabila berita tersebut disambut baik dan penuh syukur oleh khalayak.

Berdasarkan andaian dan kebimbangan Michael sebelum membuat pendedahan tentang agamanya, cukup jelas impak netizen terhadap kehidupan seseorang begitu besar terutama selebriti sehingga mampu menjadi kuasa penentu terhadap keputusan yang diambil.

Malah selepas berita gembira didedahkan, ada juga segelintir netizen membuat perbandingan antara artis wanita Islam yang membuka tudung dengan Michael yang tidak dilahirkan sebagai Islam, tetapi dapat melihat keindahan Islam.

Sekali lagi, siapa kita untuk menjatuhkan hukum dan menentukan dosa pahala seseorang. Lebih baik bimbangkan bakul pahala dan dosa masing-masing.

Jika netizen Malaysia semuanya berhemah ketika jari-jemari menaip di papan kekunci dan tidak berlumba-lumba menjadi hakim, ustaz dan ustazah segera, mungkin Michael sudah mendedahkan berita pengislamannya sejak setahun yang lalu.

Biar apa pun yang berlaku sebelum ini, penulis amat gembira dengan penghij­rahan Michael. Hanya insan terpilih diberi hidayah oleh Allah seperti mana yang di­terima Michael iaitu menerusi mimpi memasuki Kaabah.

Mendengar cerita pencarian agamanya juga cukup mengharukan kerana dalam banyak agama yang dikajinya, Michael memilih Islam selepas yakin Tuhan itu satu.

Selamat datang saudara baharu Michael, semoga istiqomah dan terus memberi inspirasi kepada orang ramai tentang betapa indahnya agama Islam.