Justeru untuk memberi justifikasi sebuah lagu itu hebat dan bagus, ia bergantung ke­pada penerimaan tanpa menolak disiplin dan tekstur muzik yang telah dihasilkan.

Itulah yang telah mengangkat lagu Jampi dendangan dan hasil karya Hael Husaini bersama Ezra Kong dinobatkan sebagai Juara Lagu Anugerah Juara Lagu ke-32, malam minggu lalu. 

“Melodinya kuat dan ia bersifat terkini sesuai dengan pe­nerimaan semua khalayak,” ujar salah seorang juri final AJL ke-32, komposer Edrie Hashim.

Kemenangan Jampi telah menyingkirkan 11 buah karya lain yang ikut berlumba untuk dinobatkan sebagai paling terhebat dalam pentas berprestij AJL. Karya yang lain bukan tidak hebat, malah kebanyakannya punya daya tarik tersendiri, ada ke­istimewaan atau memiliki keindahan yang telah menjadikan warna muzik tempatan kedengaran beragam.

Lihat sahaja karya seperti Amboi yang dihasilkan Altimet, ‘padunya’ lirik tersebut adalah satu lambang bagaimana dengan hanya pentas seni, dia mampu menyam­paikan satu kritikan sosial yang hebat. 

Tanpa mengurangi rasa hormat terhadap hasil karya komposer lain, secara peribadi saya menyifatkan Jampi memiliki melodi yang catchy dan lirik­nya mudah. Ia tidak diberatkan dengan metafora atau kritikan sosial seperti segelintir karya yang dihasilkan oleh pelaku seni berhaluan kiri atau lebih halus pengisiannya.

Lagu itu bebas dicampakkan dalam kategori ‘terkena sihir cinta’ atau apa sajalah yang mampu membuat hati seorang bergetar kerana ter­pana dengan individu yang lain. 

Bagaimanapun, Hael dan Ezra bijak menonjolkan kekuatan karya tersebut tanpa meminimumkan kekurangan yang ada pada diri mereka termasuk soal pe­ngalaman sebagai komposer dan penyanyi muda yang bertanding dengan lambakan senior hiburan tempatan.

Kemenangan Jampi menjadikan karya itu duduk sama cantik dengan lagu-lagu malar segar yang pernah menang dalam AJL sejak ia pertama kali diperkenalkan pada tahun 1986.

Pada era 80-an, kemenangan lagu-lagu seperti Menaruh Harapan dendangan Zaiton Sameon (AJL edisi dua), Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu nyanyian Ramlah Ram (AJL edisi tiga) dan Isabella dari kumpulan Search (AJL edisi empat) telah ‘hidup subur’ dalam sanubari peminat muzik tempatan.

Era berganti. Sekadar menyebut beberapa juara AJL pada sekitar 90-an seperti Janji Manismu nyanyian Aishah (AJL edisi lima), Tanya Sama Itu Hud-Hud milik Datuk M. Nasir (edisi sembilan) dan Cindai dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza (AJL ke-13).

Melangkah ke tahun 2000, barisan juara juga datang dalam genre berbeza. Antaranya Mimpi­ Laila nyanyian Yasin (AJL16), Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar pada AJL18), Relaku Pujuk oleh Spider (AJL19), Terukir Di Bintang milik Yuna (AJL27) dan Apa Khabar kolaborasi Joe Flizzow dan SonaOne (AJL29).

Selepas 32 kali penganjuran, dengan sebelum ini AJL membariskan banyak pemenang berva­riasi dan tentulah kontroversinya juga meledak bersama pemilihan para juri, AJL32 harus diiktiraf antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh pihak produksi. 

Melodi yang tidak klise, lirik yang mempunyai mesej masing-masing dan didendangkan oleh barisan penyanyi baharu berjiwa besar yang tahu apa kemahuan sendiri, industri hiburan tempatan sebenarnya sedang menuju kecemerlangan. Mereka tidak dicetak dalam acuan yang sama, tetapi kebanyakannya hadir de­ngan pakej tersendiri. 

Sekadar menyebut beberapa nama penyanyi ‘budak-budak baharu nak up’ seperti Hael, Ha­qiem Rusli, Ismail Izzani, Nabilah Ra­zali, Aiman Tino dan Wany Hasrita, kekalkan momentum kalian. Selamat datang dan menjadi pe­nyambung muzik generasi baharu.

Mantapkan identiti diri dan jaga integriti serta martabat muzik yang mampu memupuk nilai-nilai kemanusiaan, moral dan estetika yang baik supaya karya dari Malaysia tidak mundur.

Sebab banyak penyanyi boleh menyanyi, tetapi penyanyi yang mempunyai identiti dan tebal seni begitu sedikit bilangannya.

Satu perkara yang perlu dititik beratkan oleh generasi baharu adalah tidak terus larut dengan kemahsyuran sebaliknya galilah ilmu sedalam mungkin. 

Seperti kata pelaku seni ter­kenal Bollywood, A.R Rahman yang berbunyi; “Demi menjadi seorang yang berjaya adalah penting untuk terus bersikap rendah diri dan tidak membenarkan kemewahan dan populariti menjadi raja diri kita.”