Mereka ialah anak-anak anggota tentera yang terpaksa berpisah dengan bapa atau ibu yang menggalas tanggungjawab sebagai tentera pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL) selama setahun. Bersisa kira-kira dua minit sebelum menaiki pesawat, ada antara anggota tentera ini mengambil kesempatan kali terakhir memeluk anak dan pasangan masing-masing sebelum berlalu melambai-lambaikan tangan.

Kelmarin merupakan penerbangan pertama seramai 215 pegawai dan anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-6 yang keseluruhannya berjumlah 850 anggota. Kumpulan ini menggantikan pasukan Malbatt 850-5 yang bertugas di sana sejak September tahun lalu. Misi kali ini diketuai Kolonel Azhan Md. Othman yang juga disertai 30 pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Malbatt 850-6 juga mencatat sejarah tersendiri apabila menyaksikan penglibatan pegawai dan anggota wanita paling ramai iaitu 30 orang.

Turut menyertai misi ini ialah sahabat baik saya, Leftenan Kolonel Nazaruddin Ismail. Kami sama-sama menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan semasa menuntut di Institut Teknologi Mara (kini UiTM), Shah Alam.

Sebagai anak anggota pasukan keselamatan, suasana ‘kehilangan’ bapa seperti ini acap kali saya lalui. Bapa saya yang merupakan anggota Pasukan Polis Hutan di Kem Bakri, Muar, Johor kerap keluar masuk hutan melaksanakan ope­rasi sehingga berbulan-bulan. Ketika itu, tiada telefon bimbit atau aplikasi WhatsApp untuk menghantar perkhabaran. Cuma sebagai kanak-kanak, saya kurang ambil tahu risiko penugasan bapa dan beranggapan keluar masuk hutan (memburu pengganas komunis) sebagai satu pekerjaan.

Hanya setelah dewasa barulah saya tahu rupa-rupanya setiap kali bapa melangkah pergi meninggalkan kami berkemungkinan itu adalah pertemuan terakhir dia dengan keluarga. Tidak semua antara anak-anak pasukan keselamatan ini dapat menerima kepulangan bapa mereka seperti saya.

Nor Azlinda Mat Aznan, 32, dan adiknya, Nur Hashimah, 29, antara anak tentera yang kehilangan bapa semasa berada di bumi asing. Bapa mereka, Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang terkorban dalam pertempuran di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia pada 4 Oktober 1993.

Kenderaan perisai dipandu Allahyarham dibedil militan Somalia dengan pelancar grenad semasa misi tentera pengaman Malaysia menyelamatkan 70 anggota pasukan Renjer Amerika Syarikat yang terperangkap dalam pertempuran tersebut. Allahyarham berusia 32 ketika kejadian itu.

Mat Aznan merupakan wira negara yang terkorban dalam pertempuran yang turut dikenali sebagai Black Hawk Down. Kali terakhir Nor Azlinda dan Nur Hashimah dikucup bapa mereka ialah sebelum Allahyarham Mat Aznan bertolak ke Somalia ketika mereka masing-masing berusia tujuh dan empat tahun. Bayangkan kerinduan yang ditanggung mereka setelah kehilangan bapa pada usia muda.

Semangat keperwiraan Allahyarham Mat Aznan diwarisi Nor Azlinda yang kini merupakan seorang anggota tentera. Apa pun risikonya, memikul amanah negara menjadi keutamaan pada wira-wira tentera pengaman ini.

Bagi misi UNIFIL misalnya, Malaysia telah memberikan komitmen kepada PBB sejak Januari 2007 yang diteruskan hingga kini. Keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 10,635 tentera pengaman dari 41 buah negara.

Malbatt 850-6 akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

Mereka bertanggungjawab memastikan keselamatan di Garisan Biru yang memisahkan Lebanon dengan Israel.

Selamat bertugas Malbatt 850-6 dan julang nama negara!