Menteri Pendidikan, Datuk Sri Mahdzir Khalid berkata, penglibatan tersebut dapat membantu mempercepatkan proses pendidikan dalam bidang berkenaan serta merealisasikan hala tuju bidang pendidikan STEM dengan lebih berkesan.

"Sektor swasta dapat membantu mempercepatkan proses pendidikan dalam bidang ini serta boleh menganjurkan lebih banyak pertandingan yang boleh memberi manfaat kepada pelajar.

"Selaras dengan Anjakan 9 dalam Pelan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di mana kerjasama dengan sektor swasta ataupun kerajaan amat dialu-alukan," katanya ketika majlis perasmian penutup World Robotics National Championship (WRC) 2017 di Universiti Asia Pacific di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis penutupan tersebut, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad dan Pengarah Urusan World of Robotics Sdn. Bhd., Lee Yew Kein. - K! ONLINE