Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ini berikutan pada masa ini, pekerja Malaysia tidak dibayar dengan upah setimpal walaupun memainkan peranan besar dalam industri proses pengeluaran berintensif buruh seperti borong, runcit dan makanan dan minuman.

Malah, satu kajian oleh BNM menunjukkan pekerja Malaysia yang menghasilkan output bernilai AS$1,000 (RM4,077.5) hanya dibayar upah sebanyak AS$340 (RM1,386.35).

Sebaliknya, upah yang diterima pekerja di negara maju dengan penghasilan output sama bernilai AS$1,000 (RM4,077.5) adalah lebih tinggi iaitu AS$510.8 (RM2,082.79).

"Usaha mewujudkan kerja berkemahiran dengan upah tinggi adalah penting sejajar aspirasi negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Sehubungan itu, pembaharuan secara komprehensif itu adalah kritikal bagi menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta tenaga kerja.

"Selain itu, kita juga perlu mengurangkan masalah ketidakpadanan pekerja, menambahbaik undang-undang pekerja serta memastikan upah atau gaji yang dibayar itu memaparkan produktiviti terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Laporan Tahunan BNM 2018 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 di sini, hari ini.

Selain itu, Nor Shamsiah berkata, bank pusat itu menjangkakan dapat menyelesaikan semakan semula terhadap mandat Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) menjelang tahun ini.

"Usaha memperkukuh kapasiti DFI terus dilakukan bagi memastikannya dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial.

"Perkembangan penting pada 2018 adalah membabitkan pelaksanaan penambahbaikan kerangka pengukuran prestasi bagi penyediaan serta penyepaduan impak pembangunan serta prestasi kewangan DFI," katanya.

Menurutnya, bank pusat itu juga turut melakukan libat urus dengan kerajaan bagi menilai semula landskap DFI untuk mengambil kira perkembangan dalam sistem kewangan dan perubahan struktur dan keutamaan ekonomi Malaysia.

Ini, jelas beliau, dapat mewujudkan tumpuan lebih mendalam terhadap mandat DFI sambil mengoptimumkan prestasi dan sinerginya.

Dalam pada itu, BNM juga sedang menjalankan kajian untuk melaksanakan had transaksi tunai selain mengurangkan had Laporan Transaksi Tunai kepada RM25,000 daripada RM50,000 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.

Menurutnya, kajian yang bertujuan menangani penggunaan wang tunai dalam simpanan, pemindahan dan pengeluaran hasil kegiatan haram, dijangka dapat disiapkan menjelang suku kedua atau suku ketiga tahun ini.

Nor Shamsiah berkata, semakan semula Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 yang ketika ini di bawah perundingan awam, akan dapat memperkukuh keupayaan untuk menjejaki aktiviti perniagaan perkhidmatan wang haram yang turut menjadi antara saluran penjenayah memindahkan hasil wang kegiatan tersebut.

Selain itu, mengulas sama ada Amerika Syarikat (AS) kini berdepan kemungkinan mengalami kemelesetan beliau berkata, tiada sebarang petunjuk bahawa masalah itu berlaku di ekonomi terbesar dunia itu.

"Jika anda lihat ekonomi AS (faktor seperti) pasaran buruhnya masih menikmati pekerjaan penuh, pengwujudan pekerjaan masih tinggi dan terus meningkat manakala perbelanjaan (swasta) pula memacu 70 peratus aktiviti ekonominya. Oleh itu, bagaimana kemelesetan itu boleh berlaku sekiranya negara itu mencatat situasi sedemikian?" kata beliau. - Bernama