Ketua Guru Penasihat Pasukan Pancaragam STF, Reeza Haida Miskam berkata, pihaknya berbangga kerana pasukan terdiri daripada 58 pelajar itu menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang bertanding dalam pertandingan di peringkat antarabangsa tersebut.

"Ini adalah penyertaan kali pertama STF dalam pertandingan peringkat antarabangsa di luar Malaysia sekali gus menjadikan ia pencapaian terbaik setakat ini.

"Harapan kami sangat tinggi untuk mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul pingat emas dan menjuarai pertandingan ini dengan sokongan pelbagai pihak terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni STF, kerana tanpa bantuan mereka mungkin sukar untuk kami sampai ke tahap ini," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini sebelum berlepas ke Jakarta.

Pertandingan Grand Prix Marching Band Kali Ke-23 itu yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat ini akan turut disertai 16 kumpulan pancaragam lain dari Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Pasukan Pancaragam STF, Esty Farrah Musa berkata, kumpulan berkenaan yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima sudah membuat persiapan untuk pertandingan itu sejak enam bulan lalu.

"Bertemakan 'Spirit of Asia', kumpulan ini akan mempromosikan negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, China dan Jepun menerusi orkestra dan pancaragam mereka.

"Keistimewaan kumpulan ini adalah mereka akan membuat persembahan orkestra dan pancaragam yang mana bukan semua kumpulan bertanding ada kelainan seumpana itu," katanya.

Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) STF, Saiful Yazan Sulaiman, pihaknya bertungkus lumus dalam mengumpul dana untuk menampung kos perbelanjaan sejak Ogos lalu.

"STF sudah lama menyimpan hasrat untuk bertanding di luar negara namun, kita mempunyai kekangan dari segi dana dan peralatan.

"Alhamdulillah, kali ini kita berjaya mengumpul dana berkenaan dan melalui kutipan itu juga kita dapat menukar 60 peratus peralatan muzik baru yang akan digunakan sepanjang pertandingan itu," katanya. - K! ONLINE