Beliau berkata, sekolah hanya memainkan peranan memperkenalkan sistem demokrasi serta mekanisme bagaimana rakyat boleh menjaga keamanan dan keharmonian negara demi melangsungkan kedamaian yang dibina.

"Sekolah terikat dengan pekeliling sekolah, ia adalah tempat untuk pendidikan bukan untuk politik. Namun di sekolah kita mendidik rakyat dengan kesedaran mengenai demokrasi, perlembagaan dan hak mereka sebagai warganegara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas isu berhubung rang undang-undang (RUU) bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan yang dikhuatiri disalahguna pihak tertentu untuk berpolitik di sekolah.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Selasa lepas diluluskan di Dewan Rakyat dengan mendapat undian majoriti. 

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut menjelaskan bahawa semakan semula serta pindaan bagi buku teks mata pelajaran Sejarah sudah dilaksanakan secara berfasa sejak 2017, sekaligus menafikan dakwaan dan tuduhan yang ditular dalam media sosial ia dirombak setelah kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.

Ia berlaku sejak pentadbiran kerajaan terdahulu dan selaras dengan kandungan mata pelajaran serta keperluan cara penyampaian yang lebih baik agar tidak membosankan. - Bernama