Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah kawalan seperti Sekolah Elit, Sekolah Premier, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Kelas Aliran Agama biasanya melakukan pemilihan pelajar berdasarkan pencapaian sukan, akademik dan disiplin.

Beliau berkata, standard tinggi yang ditetapkan itu telah menyebabkan segelintir pelajar terpaksa ke sekolah yang lebih jauh kerana tidak diterima memasuki sekolah kawalan berhampiran kawasan perumahan mereka.

"Saya telah berbincang dengan pegawai-pegawai di kementerian. Kita minta pengurusan sekolah agar beri peluang juga kepada pelajar setempat biarpun dalam peratusan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu, Kuala Berang di sini hari ini.

Di Terengganu, antara sekolah kawalan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, SMK Mak Lagam, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, SMKA Dato' Haji Abbas, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Padang Midin. - K! ONLINE