Menurut Eksekutif Pengurusan Jenama Kosmo!, Hazwan Hairul (gambar), hadiah yang ditawarkan khusus untuk sekolah-sekolah yang menyertai kuiz tersebut itu kelak adalah dalam bentuk barangan elektrik dan sekolah yang menang, dipilih berdasarkan penyer­taan tertinggi.

“Sekolah yang terpilih sebagai pemenang tempat pertama akan memenangi hadiah berupa barangan elektrik bernilai RM5,000, tempat ke­dua RM4,000 dan tempat ketiga RM3,000.

“Seterusnya, pemenang tempat keempat hingga sepuluh ma­sing-masing akan menerima bara­ngan elektrik bernilai RM2,000,” jelasnya.

Tambah Hazwan, Kuiz Pelaburan PNB bagi kategori sekolah menengah turut dibuka khusus kepada golongan pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga 5.

“Kategori ini menyediakan hadiah tempat pertama berupa unit amanah berjumlah RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM2,500.

“Pemenang tempat ke-4 hingga 10 berpeluang memenangi hadiah unit amanah RM1,000, manakala pemenang tempat ke-11 hingga 30 ma­sing-masing la­yak menang unit amanah RM500.

Penganjuran kuiz tersebut jelas menunjukkan keprihatinan Kosmo! dan ASNB terhadap kepentingan untuk menyemai kesedaran dalam membuat keputusan kewangan yang bijak dalam kalangan orang ramai bermula awal iaitu di pe­ringkat sekolah dan golongan pelajar di negara ini.

Bersesuaian de­ngan konsep Hari Kebangsaan 2019 yang diraikan baru-baru ini dan Hari Malaysia yang bakal disambut menjelang 16 September kelak, minda orang ramai perlulah dididik ke arah memerdekakan keputusan kewangan yang bakal dibuat agar mereka tidak dibelenggu masalah kewangan pada masa hadapan.

Dalam pada itu Hazwan berkata, kuiz tersebut turut menampilkan kategori umum yang terbuka khusus kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Ha­diah pertama bagi ka­tegori ini berupa unit ama­nah RM7,000, kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000.

“Bagi pemenang tempat keempat hingga 18 pula masing-ma­sing akan me­nerima unit ama­nah bernilai RM2,000, manakala pemenang tempat ke-19 hingga 43 masing-masing berpeluang menang unit ama­nah RM1,000.

“Seterusnya, pemenang tempat ke-44 hingga 73 masing-ma­sing la­yak memenangi unit amanah berjumlah RM500,” katanya.

Tambah Hazwan, orang ramai boleh menyertai kuiz bagi ka­tegori umum ini berlangsung dari 9 hingga 18 September ini.

Menyentuh tentang cara penyertaan ujarnya, peserta kuiz hanya perlu menjawab empat soalan bagi setiap kategori.

“Soalan yang sama akan diterbitkan untuk tempoh empat hari berturut-turut dalam akhbar Kosmo! bagi pembaca di Semenanjung Malaysia.

“Terdapat artikel berbeza akan diterbitkan untuk tempoh empat hari berkenaan yang mengandungi jawapan untuk setiap soalan yang akan diterbitkan,” jelasnya.

Menurut Hazwan, kaedah penyertaan memerlukan peserta menjawab soalan dan menghantar keratan jawapan kepada Kos­mo! selaku penganjur bersama dalam tempoh ditetapkan.

“Bagi mendapatkan klu untuk jawapan kuiz tersebut, peserta boleh merujuk kepada video dan artikel yang diterbitkan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Laman Web ASNB.

“Bahan rujukan tambahan boleh diperolehi menerusi vi­deo E-seminar Pelaburan 360 Hari yang dimuatnaik di YouTube ASNB dan instagram Kosmo! Online atau Facebook ASNB,” ujarnya.

Kuiz ini terbuka kepada warga Malaysia kecuali kakitangan Kumpulan PNB dan Utusan.