Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut perlu dilakukan selepas Buku Panduan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz dilancarkan hari ini.

Jelasnya, ia juga merupakan komitmen daripada pelbagai pihak untuk membantu tahap keselamatan di institusi keagamaan di negara ini.

“Selain itu, usaha ini merupakan salah satu langkah untuk menjadikan sekolah agama dan maahad tahfiz terus berada di garisan hadapan melalui anjakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). 

“Kita tidak menetepikan batas-batas perbezaan aliran pendidikan di negara ini dan keutamaan tetap diberikan kepada seluruh rakyat.

“Buktinya, pada majlis hari ini, kita telah menjalankan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk melakukan kerja-kerja baik (keselamatan dan kesihatan) menerusi institusi latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz 2018 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Irshadiah Addiniah di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Mutalib; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrol Zaman Yahya.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut melancarkan Buku Panduan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz yang diterbit oleh NIOSH yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia. - K! ONLINE