Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sekatan itu berlaku selepas terdapat aduan daripada orang awam yang mendakwa talian hotline tersebut melanggar terma dan syarat WhatsApp.

“Saya mengambil maklum tentang aduan serta laporan akhbar berhubung sekatan ke atas talian hotline umum oleh pihak pengurusan aplikasi WhatsApp.

“Untuk makluman, talian hotline berkenaan diwujudkan bagi membolehkan orang ramai membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat perokok yang merokok di tempat-tempat awam termasuk restoran tertutup dan terbuka yang telah diisytiharkan sebagai zon tidak merokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, selain itu, talian tersebut juga disediakan bagi memudahkan orang awam untuk mendapatkan maklumat, membuat pertanyaan atau mendapatkan nasihat yang berkaitan.

“Langkah ini diambil bagi memperkasakan peranan orang awam dalam membantu kementerian melaksanakan larangan merokok selain meningkatkan kesedaran mereka terhadap bahaya asap rokok,” katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memperkenalkan talian hotline larangan merokok menerusi nombor WhatsApp 010-860 8949 bagi membolehkan pengguna berkongsi maklumat gambar perokok dan nama serta lokasi premis. - K! ONLINE