Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, meminta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) dapat mempercepatkan urusan PPR berkenaan bagi membolehkan mangsa kebakaran di kawasan itu mendapat tempat tinggal.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting sendiri iaitu George Hiew Vun Zin, adalah Pembantu Menteri KKTP, kita harap urusan PPR ini dapat disegerakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, 23 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting Baru di sini pada jam 2 petang dan seramai 33 keluarga menjadi mangsa kebakaran itu.

Vui Keong berkata, sejak menjadi wakil rakyat di kawasannya pada Mei tahun lalu, empat kes kebakaran direkodkan berlaku di Batu Sapi antaranya di Kampung Gas dan terbaru di Karamunting.

“Kesemua mangsa kebakaran ini yang layak memohon PPR, harap dibenarkan menyewa, mangsa kebakaran Kampung Air pada Mac lalu misalnya, sehingga kini masih lagi menetap di dewan serba guna.

“Keputusan mesti dibuat dengan cepat, mereka perlu dibantu, mereka adalah pengundi kita,” katanya.

Selain itu, Vui Keong mengingatkan penduduk Batu Sapi supaya tidak lalai dan meninggalkan orang tidak berkeupayaan termasuk warga emas yang tinggal sendirian di rumah bagi mengelakkan kecuaian sehingga menyebabkan kebakaran.

Sementara itu, beliau berkata, perbincangan sudah diadakan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, untuk menstruktur semula tapak penempatan yang terbakar, namun perkara itu perlu penelitian lanjut.

“Di Batu Sapi ini ada 18 penempatan dengan hanya tujuh saja ada status perkampungan, baki 11 lagi penempatan tidak berstatus ekoran sama ada penduduk menduduki tanah di mana pemilik sendiri menyewakan tempat itu kepada orang awam atau tanah itu diceroboh,” katanya.

Sekiranya kawasan itu sudah diiktiraf sebagai kampung baru, tempat itu dapat distruktur lebih baik dengan pemberian lot rumah mengikut nama, katanya. - Bernama