Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pendatang asing berkenaan perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkan kepada pejabat Imigresen untuk diproses. 

Menurutnya, mereka juga perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan tersebut. 

"Kesemua dokumen itu akan diteliti bagi proses kebenaran keluar sebelum diberikan pas khas yang sah laku dalam tempoh tujuh hari untuk keluar daripada negara ini," katanya pada sidang akhbar di Bahagian Perisikan Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan lmigresen Malaysia akan melaksanakan PATI Pulang Ke Negara Asal atau Program Back For Good bagi memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember depan.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, program B4G itu hanya melibatkan PATI di Semenanjung Malaysia dan pendatang asing yang sedang ditahan di depot tidak dibenarkan menyertai inisiatif tersebut. 

Beliau berkata, bagi menjayakan program itu, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak akan menahan mana-mana PATI yang sedang melakukan proses menyertai B4G seperti sedang dalam perjalanan ke kedutaan dan pejabat imigresen bagi melengkapkan dokumen diperlukan.

"Selain mengurangkan kebanjiran PATI, program B4G juga bertujuan menjimatkan kos perbelanjaan pengurusan depot serta membendung masalah sosial seperti risiko jangkitan penyakit dan jenayah," katanya. - K! ONLINE