Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perancangan ini akan dilaksanakan di seluruh negara dengan sekurang-kurangnya balai bomba yang dibina itu dalam kategori kelas D.

"Selepas membuat lawatan kerja di kira-kira lapan negeri, saya melihat terdapat keperluan untuk mewujudkan sebuah balai bomba dan penyelamat di kawasan ramai orang iaitu sekurang-kurangnya 10,000 orang supaya bomba dapat bertindak lebih pantas sekiranya berlaku sebarang kes di kawasan berkenaan.

“Sekiranya cadangan ini terlaksana, kami akan menempatkan beberapa pegawai di balai bomba itu dan ini akan memudahkan mereka menghantar bantuan terutama operasi memadam kebakaran serta menyelamat mangsa jika berlaku insiden tidak diingini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Bomba Pulau Pinang, Saadon Moktar. - Bernama