GTFS diperkenalkan bertujuan menggalakkan syarikat dan usahawan tempatan untuk meneroka projek berasaskan teknologi hijau bagi menyokong agenda teknologi hijau negara.

Dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), skim berkenaan menyediakan akses kepada kemudahan pembiayaan menarik dari institusi kewangan dengan Malaysia Green Technology Corporation sebagai agensi pelaksana.

"GTFS menawarkan rebat sebanyak dua peratus setahun terhadap kadar faedah dan keuntungan keseluruhan yang dikenakan oleh institusi kewangan dan jaminan kerajaan sehingga 60 peratus daripada kos hijau bagi projek yang mendapat pembiayaan," demikian menurut KeTTHA dalam kenyataan akhbar sempena pelancaran GTFS 2.0 di Kudat, Sabah oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada ucapan bajet 2018 mengumumkan lanjutan skim tersebut untuk tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2022 dengan jumlah dana pembiayaan sebanyak RM5 bilion.

Sejak diperkenalkan, GTFS berjaya menarik penyertaan 28 institusi kewangan untuk membiayai projek hijau.

Selain menyediakan kemudahan pembiayaan secara konvensional, GTFS 2.0 akan menawarkan pakej lebih menarik melalui terbitan bon/sukuk hijau.

Dana sebanyak RM2.0 bilion disediakan untuk terbitan bon/sukuk hijau dengan had maksimum bagi setiap syarikat adalah RM300 juta selain tempoh maksimum 15 tahun bagi syarikat pengeluar dan 10 tahun bagi syarikat pengguna. 

Terbitan bon/sukuk hijau ini akan dijamin 100 peratus oleh Danajamin. Pengeluar bon/sukuk hijau juga boleh menikmati subsidi kerajaan pada kadar dua peratus atas kadar faedah pinjaman keseluruhan. - Bernama