Naib Presiden Kanan dan Pengurusan Pihak Berkepentingan TRX City Sdn. Bhd., Mohamed Razib Ahmad Din berkata, laluan yang terlibat meliputi susur keluar Jalan Sultan Ismail menuju ke Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Tun Razak (arah utara) dan sebahagian daripada Jalan Barat (dua lorong).

"Penutupan sebahagian laluan di Jalan Sultan Ismail akan dilaksanakan secara berterusan iaitu 24 jam sehari selama lebih kurang 14 bulan bermula pada  11 Ogos sehingga 31 Oktober 2019. 

"Manakala penutupan sebahagian Jalan Barat akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu 24 jam sehari selama lebih kurang tiga bulan bermula pada 11 Ogos hingga 18 November," katanya kepada media dalam sesi penerangan khas di TRX Gallery di sini hari ini.  

Berikutan penutupan Jalan Sultan Ismail, pengguna jalan raya yang menuju ke pejabat Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART. Co) melalui Jalan Sultan Ismail perlu menggunakan laluan khusus yang disediakan untuk kenderaan dengan had ketinggian tidak melebihi 2.0 meter. - Bernama