Setiausaha Scarfox Mountain Enduro, Ahmad Fitri Zakaria berkata, pihaknya seramai 30 orang telah bertungkus lumus bagi memastikan pertandingan itu berjalan lancar dan mencabar.

“Pertandingan ini sedikit sebanyak menjadi platform utama untuk mengumpul peminat lumba basikal turun bukit atau lebih dikenali sebagai downhill di negara ini.

“Pemilihan lokasi pertandingan juga merupakan faktor utama dalam menarik minat peminat downhill kerana umum mengetahui Bukit Dinding mempunyai trek yang agak mencabar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Dinding baru-baru ini.

Tambahnya Fitri, dia berharap promosi sukan lasak tersebut dapat diperluaskan supaya ia tidak terkubur ditelan zaman.

“Saya berharap lebih ramai peminat sukan lasak ini dapat berkumpul dan lebih banyak pihak sudi menaja pertandingan seumpama ini bagi melahirkan bakat baru dalam acara downhill di negara ini. 

“Di samping itu, pelbagai aktiviti diadakan ketika pertandingan tersebut seperti jualan basikal, baju dan aksesori bagi memeriahkan majlis ini,” jelasnya. - K! ONLINE