Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak telah menerima satu kes pada 15 Julai lalu dan ia telah disahkan wabak demam denggi.

"Aktiviti kawalan telah dilaksanakan pada hari sama namun PKD sama sekali lagi menerima dua kes demam denggi menjadikan tiga kes semuanya.

"Salah seorang pesakit bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kompilasi jangkitan demam denggi pada hari ini manakala seorang lagi pesakit sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Lay Ming, seorang lagi pesakit pula berada dalam keadaan stabil dan dia cuma dirawat sebagai pesakit luar.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut mengenai mangsa yang maut akibat demam denggi berkenaan.

Menurut Lay Ming lagi, hasil pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Perak mendapati kadar pembiakan nyamuk aedes adalah tinggi di kawasan tersebut.

"Antara tempat pembiakan dijumpai di kawasan wabak adalah perigi dan kolam terbiar, mangkuk susu getah di kebun getah serta tong-tong susu getah yang ditinggalkan terbiar di kawasan kebun.

"Usaha membendung penularan wabak ini turut dilaksanakan termasuk aktiviti pemeriksaan dan penghapuskan tempat pembiakan dalam pemeriksaan terhadap 82 buah rumah di sana," katanya.

Katanya, lima kompaun dan empat notis pembersihan di bawah Seksyen 8(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis didapati membiak nyamuk aedes.

"Satu sesi gotong-royong akan diadakan secepat mungkin dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan demam denggi.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran di sekeliling kawasan tempat kediaman dan segera melakukan aktiviti pembersihan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau dalam rumah," katanya. - K! ONLINE