Cikgu kata, apabila masuk tingkatan enam, ibaratnya se­langkah kaki sudah masuk universiti, tinggal selangkah sahaja lagi sebelum impian ke menara gading akan tercapai.

Pada waktu tersebut, guru subjek Pengajian Am dan Bahasa Melayu ada berkata, surat khabar adalah bahan bacaan terbaik, murah dan bersifat semasa untuk meluaskan minda dan mengenal dunia selain membaca novel, majalah atau sesekali menonton televisyen.

Selain belajar banyak laras bahasa yang boleh dihadam hanya dengan satu keluaran akhbar harian, bacaan segar berbentuk cerpen dan sajak juga boleh diperoleh daripada surat khabar. Maklumlah, sekitar 1996, internet masih jauh panggang daripada api, akses­nya terhad - sangatlah terhad.

Berbalik terhadap peranan akhbar dalam pembelajaran dan kehidupan seharian, ada satu perkara yang menarik perhatian penulis. Surat khabar yang kini menjadi tempat cari makan, sebenarnya dimulai dengan kecenderungan mengikuti ruangan sastera yang wajib dicari setiap kali helaian akhbar dibelek. Bahkan kalau ternampak puisi atau bahagian cerpen yang menjadi pembungkus makanan pun, penulis akan ambil sedikit masa membaca bahagian tersebut hingga selesai.

Sekadar minat, namun tidak pernah sekali pun sebarang puisi yang kerap mengisi halaman belakang buku tulis atau diari tulisan sendiri dihantar ke meja editorial mana-mana surat khabar untuk disiarkan.

Puncanya, malu! Dahulu, perasaan rendah diri terhadap penulisan sendiri sangat me­nebal. Sampai ke hari ini, penulis masih mencari alasan terbaik, bagaimana sifat negatif itu boleh hilang sehinggakan bukan sahaja menulis menjadi pekerjaan tetap bahkan menyunting penulisan orang lain juga menjadi makanan hakiki setiap hari di akhbar Kosmo! ini.

Mencampakkan ingatan semasa di tingkatan empat, selepas selalu dipuji (diejek sebenarnya) kerana hanya skor subjek Kesusasteraan Melayu, sementelah tercorot subjek Matematik, penulis pernah naik pentas menerima anugerah kecemerlangan untuk subjek berkenaan. Mahu tahu apa ha­diahnya? Tentulah buku-buku. Istimewa, buku tersebut merupakan karya yang tertera istilah ‘Hadiah Sastera Kumpulan Utusan’ pada kulitnya.

Sejak dari situ, selain ditulis nama-nama novelis yang pernah didengar atau diketahui sedikit latarnya, karya yang bercetak ‘Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)’ memang tidak akan diragui nikmat pembacaannya. Bukan sahaja pengisian tetapi estetika bahasa yang mengalir pada setiap muka surat serta ‘pelajaran percuma’ lewat karya bertanda ‘HSKU’ antara yang mendatang­kan kesan dalam penulisan buat penulis secara peribadi­nya, sehingga ke hari ini.

Jadi, penganjuran majlis HSKU yang berlangsung di Dewan Besar Utusan Melayu hari ini sangat sentimental. Masih wujudnya rupa-rupa apresiasi khalayak dan Utusan Melayu khususnya terhadap martabat dunia penulisan dan kesusaste­raan tanah air.

Sebagai sebuah syarikat akhbar yang sering dipersoalkan keutuhannya saat menerjah revolusi media digital, keles­tarian HSKU memasuki pe­nganjuran ke-33 adalah satu kebanggaan buat seluruh pemuja kesusasteraan tanah air.

Kalau pun bukan untuk melahirkan Sasterawan Negara, HSKU akan menjadi ‘kilang’ menghasilkan penulis baharu negara.

Jika sesetengah pihak melihat sastera sebagai bukan sayap penting dalam pembangunan negara yang mungkin menjadikan ‘mercu bangunan pencakar langit’ sebagai tanda aras sesebuah kejayaan, sastera Melayu pula, biarpun sekadar melata, tetapi suburnya menjalar ke pasak bumi, meneguhkan setiap tunjang dan akar agar dunia seimbang tuntutannya, rohani dan jasmani.

Penulis masih ingat kata-kata seorang adi guru, manusia yang hidup tanpa sastera tidak ubah seperti binatang yang bijak. Sejauh mana kebenaran atau penipuannya, terima kasih buat penulis dan sasterawan semua kerana menebarkan keindahan sukma menerusi kata-kata dan membesarkan jiwa siapa yang ‘membacanya’.