Program Fasa Kedua selepas 5,000 di tanam September tahun lalu itu bermula sejak Sabtu lepas dan berakhir hari ini. 

Pengerusi SASET, Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Muadzam Shah berkata, projek tanaman yang melibatkan pelbagai spesis pokok termasuk meranti itu itu ditanam di atas tanah seluas 25 hektar. 

"Tahun lepas kita telah jalankan projek ini di atas tanah seluas 4.5 hektar dan ia tidak akan terhenti di sini malah akan diperluaskan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menanam pokok ke-25,000 sebagai simbolik perasmian program tersebut di tapak projek berkenaan hari ini. 

Hadir sama  Exco Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi,Datuk Seri Norol Azali Sulaiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman; ADUN Triang, Leong Yu Man dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Samsu Anuar Nawi.

Menurut Tengku Fahd, lebih 400 sukarelawan telah terlibat menjayakan program tersebut termasuk kakaitangan JPNP, pelajar sekolah, penuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan serta Orang Asli.  

"Usaha menjaga alam sekitar perlu dilakukan secara berterusan dalam memastikan kawasan hutan RAMSAR di negeri ini terus terpelihara dan kekal untuk tatapan generasi akan datang. 

"Kita akan datang memantau semula dalam tempoh enam bulan selepas ini dan menyasarkan 80 peratus kejayaan menerusi projek ini," ujarnya. 

Sementara itu Samsu Anuar berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama kepada SASET dalam menjayakan aktiviti menanam pokok di negeri ini.

"Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh JPNP mampu melancarkan usaha SASET menghijaukan semula kawasan hutan simpan yang diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini," jelasnya. 

Difahamkan kira-kira 35 hektar hutan di kawasan itu musnah akibat penerokaan secara haram oleh pihak tertentu. - K! ONLINE