Beliau berkata kementerian akan mengerakkan aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan yang lebih agresif dan konsisten bagi mencapai sasaran itu.

Ketibaan pelancong luar dari Januari hingga April lepas adalah seramai 8.47 juta, satu kadar yang agak rendah bagi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang sememangnya dikenali dunia.

"Memang sasaran 33.1 juta pelancong adalah besar tetapi dengan publisiti dan program promosi di luar negara yang berstrategi serta berterusan, kita yakin sasaran itu boleh dicapai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian yang turut dihadiri timbalannya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Mohamaddin berkata keyakinan itu turut bersandarkan kepada peningkatan lebih 37 dan 12 peratus pelancong masing-masing dari China dan India, dua negara yang menjadi sasaran utama kementerian dari aspek kemasukan pelancong.

Mengenai faktor ketibaan pelancong yang rendah, beliau berkata musim pilihan raya umum menjadi  antara penyebab utamanya selain pelawat dari Singapura dan Brunei yang sebelum ini memilih Malaysia sebagai destinasi utama percutian mengubah haluan ke negara lain.

"Biasanya pelancong tidak akan datang ke negara yang berada dalam tempoh pilihan raya tetapi selepas semuanya selesai, trend kemasukan akan kembali meningkat," katanya.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata kementerian akan melaksanakan minggu kebudayaan di Malaysia sebagai antara usaha memperkenal dan memartabatkan kebudayaan serta kesenian tanah air. - Bernama