Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, mana-mana masjid sedia ada yang mengamalkan ciri-ciri RAHMAH (ramah, aman, harmoni, mesra, a’lamin dan hormat) boleh diiktiraf sebagai Masjid Rahmah.

Beliau berkata, program masjid rahmah itu adalah sebahagian daripada dasar rahmatan lil a’lamin ke arah mewujudkan sebuah negara rahmah.

“Kami sedang mengadakan jelajah di seluruh negara untuk menyampaikan dasar-dasar ini. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan dengan harapan kita dapat membebaskan masjid daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian.

“Masjid akan menjadi sebuah institusi ummah yang bebas daripada segala apa-apa kepentingan dan menjadi sebuah masjid yang hanya menyampaikan kebaikan dan berlumba-lumba atas kebajikan kepada seluruh masyarakat yang ada di sekeliling,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Masjid Rahmah di Masjid Simpang Empat, Permatang Buloh, di sini hari ini. – Bernama