Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan media hari ini berkata, penguatkuasaan undang-undang berkaitan aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu akan dilaksanakan seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

Kata kenyataaan itu, keputusan itu diputuskan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petroliam National Berhad (Petronas) memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak untuk mendapat perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu.

"Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) milik kerajaan negeri akan diberikan kuasa berkaitan untuk mengawal selia segala aktiviti huluan minyak dan gas di negeri ini mengikut Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak.

"Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pasukan undang-undang Sarawak dan seluruh rakyat negeri ini atas sokongan padu bagi kita melaksanakan hak perlembagaan berkaitan aktiviti minyak dan gas di Sarawak," kata Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Pagi tadi, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Petronas untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu untuk mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop memutuskan relif perisytiharan yang dimohon Petronas tidak termaktub di bawah Perkara 4 (4) dan Perkara 4 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 4 Jun lalu, Petronas telah memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan, memohon perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak.

Ia memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang telah dikuatkuasakan oleh Parliamen yang menyatakan bahawa Petronas ialah pihak pengawal selia eksklusif bagi industri huluan di seluruh negara termasuk di Sarawak. - K! ONLINE