Selang sehari, sepasang suami isteri pula maut akibat digilis lori dalam kejadian langgar lari di Kilo­meter 99.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Su­ngai Petani, Kedah.

Kedua-duanya ada persamaan iaitu mangsa me­ninggal dunia ketika menaiki kenderaan bersama keluarga. Cuma bezanya, kes pertama empat beranak berkenaan sedang menaiki kereta manakala kes ke­dua ketika pasangan itu menunggang motosikal bersama anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun.

Semua pemandu dan penunggang motosikal be­risiko untuk mengalami kemalangan. Tragedi boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa kita duga.

Adakala silap sendiri dan kadangkala kemalangan disebabkan salah orang lain sedangkan kita telah mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Alangkah sedih apabila memikirkan nasib anak-anak yang masih kecil menjadi yatim piatu dalam sekelip mata ekoran ibu bapa maut dalam kema­lang­an.

Perjalanan hidup mereka masih jauh. Apa yang pa­ling memilukan adalah anak-anak itu kehilangan kasih sa­yang yang sememangnya diperlukan apatah lagi dalam menempuh kehidupan pada zaman yang penuh mencabar pada masa ini.

Kerajaan perlu mengambil perhatian berhubung perkara ini. Ahli keluarga yang sanggup membela saudara kecil mereka itu harus diutamakan kebajikannya.

Bukan senang untuk menambah tanggungan yang pada masa sama perlu menyara keluarga sendiri. Kos sara hidup yang meningkat saban hari sudah tentu menambahkan beban.

Kesabaran dan keikhlasan memainkan pe­ranan penting. Lawatan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat harus dilakukan setiap bulan agar mereka ini terus terbela.

Bagaimanapun saya percaya ikatan kekeluargaan yang ikhlas tidak akan mengakibatkan kanak-kanak yatim piatu hidup melarat.

Mereka ini sebenarnya mempunyai panduan bagaimana hendak hidup dalam keadaan yatim di atas muka bumi ini.

Itulah antara hikmah takdir Allah ke atas apa yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW. Baginda ditakdirkan hidup sebagai anak yatim piatu ketika masih kecil sekali gus menjadi contoh paling mudah untuk diikuti umatnya yang mengalami situasi serupa.

Selagi anak yatim piatu itu hidup, ia sebenarnya sarat dengan pahala. Jika anak yatim itu sendiri memiliki pahala apatah lagi bagi orang yang membela anak yatim tersebut.

Cuma apa yang sering menjadi duri dalam daging berhubung amalan berbuat baik terhadap anak yatim piatu ialah harta yang di­tinggalkan oleh arwah ibu bapa mereka. Manusia mudah menjadi tamak haloba dek kerana perhiasan dunia itu.

Penjaga atau pemegang amanah yang mudah tergelincir akibat bisikan jahat kemungkinan akan memakan harta tersebut sehingga terlupa tanggungjawab hakiki yang diamanahkan kepadanya.

Semoga pihak yang terpilih untuk melakukan kerja yang mulia tersebut dapat menjalankan amanah dengan penuh rasa insaf. Membela anak yatim piatu hakikatnya adalah cara mudah untuk kita memasuki syurga Allah, namun pada masa sama boleh menjadi punca kita ke neraka gara-gara memakan harta anak yatim yang besar dosanya.