Suspek lelaki berusia 52 tahun tersebut melakukan kegiatan itu kira-kira pukul 4 petang sebelum dia dicekup pukul 8.45 malam pada hari sama di Butterworth.

Polis turut merampas semula sebotol air minuman yang dipercayai belum diminum bersama wang tunai RM50 dan sebilah pisau daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek didapati melakukan dua kegiatan pada hari sama di sekitar Butterworth sebelum dia ditahan.

"Dalam kejadian samun kedai runcit, suspek yang bersenjatakan sebilah pisau telah mengambil sebotol air minuman dan wang tunai RM50 sebelum melarikan diri serta mengugut akan datang lagi.

"Sebelum itu, kira-kira pukul 3.45 petang, suspek telah mengamuk di hadapan sebuah pusat hiburan selain mengejar pengurus pusat hiburan itu dengan sebilah pisau," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Beliau berkata, Suspek dipercayai melakukan kegiatan berkenaan ketika mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah.

"Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

"Dia juga mempunyai tujuh rekod lampau iaitu berkaitan dadah dan jenayah," katanya lagi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan 506/427 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE