Oleh itu, dalam memberikan kelainan, Kedai Emas Nazrin Jewellery tampil dengan sampul emas raya yang direka khas bagi menghargai orang tersayang.

Pemiliknya, Mohd. Nazree Abdul Rahman, 33, berkata, idea untuk menghasilkan sampul raya tersebut tercetus daripada tradisi masyarakat yang menjadi ikutan sejak dulu lagi.

“Sampul emas raya ini dicipta khas bagi memberikan nilai tambah selain kita mahu menggalakkan masyarakat mengubah tradisi pemberian duit raya kepada emas.

“Jika dilihat, sampul emas raya ini boleh mencecah harga ratusan ringgit pada masa akan datang sekiranya disimpan. Malah ia menjadikan budaya memberi duit raya sebagai lebih bermakna,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, selain menggalakkan budaya menyimpan pada masa depan berikutan nilai emas yang sentiasa kukuh dan terjamin, sampul emas raya itu dilihat lebih praktikal kerana mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri.

“Kita memperkenalkan sampul emas raya seberat 0.1 dan 0.2 gram dengan ketulenan emas 999 serta 999.9 bagi kualiti premium. Harga bagi sampul emas raya ini bermula RM60 hingga RM120,” jelasnya yang turut mengalu-alukan tempahan daripada syarikat korporat dalam bentuk pukal.

Katanya, penghasilan sampul emas tersebut tidak terhad pada musim perayaan sahaja kerana pihaknya bersedia untuk menerima tempahan mengikut kesesuaian.

“Kita menerima sambutan positif dengan pengenalan sampul emas ini malah secara tidak langsung juga kita mahu mendidik masyarakat berkenaan emas yang boleh dihasilkan dalam pelbagai jenis selain barangan kemas,” ujarnya yang menjadikan media sosial sebagai medium pemasaran.

Bagi mereka yang berminat, boleh melayari laman Facebook dan Instagram Nazrin Jewellery atau hubungi talian 013-3984 564. - K! ONLINE