Memulakan perjalanan dalam kesejukan pagi, meredah anak sungai berarus deras, menyusup di bawah rimbunan buluh dan berjalan selama beberapa jam di laluan berselut adalah antara cabaran yang perlu ditempuhi.

Bagaimanapun, kejayaan menawan puncak gunung bukan satu penamat. Ia adalah bonus dan hanya 50 peratus daripada perjalanan ekspedisi itu.

Baki 50 peratus lagi diambil kira selepas pendaki selamat turun ke tempat letak kenderaan dan sampai ke rumah masing-masing.

Sebelum ini, ramai pendaki termasuk pendaki profesional di seluruh dunia mengalami kemalangan atau meninggal dunia semasa dalam perjalanan turun dari puncak.

Secara psikologinya, mental dan fizikal pendaki sudah pun terlalu letih sewaktu dalam perjalanan turun. Jadi, kecelakaan mudah berlaku dalam keadaan ini.

Sebagai contoh, seorang pendaki Gunung Kinabalu di Sabah meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika turun dari puncak gunung itu baru-baru ini.

Mangsa, Prof. Madya Dr. Nazri Omar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terpisah daripada kumpulan eks­plo­rasinya ketika menuruni Gunung Kinabalu ditemui meninggal dunia dipercayai akibat kesejukan.

Nazri, 49, dari Bandar Baru Bangi, Selangor dise­dari hilang oleh ahli kumpulannya pada pukul 8 pagi semasa kumpulan tersebut berada di Timpohan Gate iaitu di kaki gunung.

Menurut sumber, kumpulan 22 peserta itu memulakan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu bermula pada pukul 4.30 pagi sambil di­iringi beberapa orang malim gunung.

Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke puncak, malim gunung mengesan cuaca buruk dan mengarahkan kesemua 22 pendaki berpatah turun.

Selain itu, seorang pendaki wanita diserang sakit jantung ketika ingin turun dari Gunung Yong Belar, Lojing, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Ketika kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa, Rahimah Saadun, 31, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur mendaki gunung tersebut berkenaan bersama rakan-rakannya.

Mangsa yang dalam keadaan lemah berjaya dibawa turun dengan selamat kira-kira pukul 7 pagi mangsa untuk mendapat rawatan awal di Klinik Lojing sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang.

Pada hari yang sama juga, seorang pendaki lelaki maut selepas terjatuh di puncak Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor.

Mangsa, Azlan Yahya, 47, ditemui meninggal dunia selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung berkedalaman kira-kira 100 meter ketika menuruni puncak Gunung Nuang.

Rentetan daripada kejadian itu, Jabatan Perhutanan mengambil keputusan drastik menutup buat sementara waktu hutan di Daerah Gua Musang dan Gunung Nuang.

Segala aktiviti pendakian di kawasan itu dilarang sama sekali dan Jabatan Perhutanan tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kemalangan atau kecederaan yang menimpa pendaki sepanjang tempoh penutupan sementara itu.

Bagaimanapun, penulis berharap agar pihak Jabatan Perhutanan membuat sesuatu sepanjang penutupan ini. Contohnya, membaiki laluan yang didapati berbahaya dan boleh mengundang bencana kepada pendaki. Jangan bertindak sekadar ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Ketika ini, kerajaan menggalakkan rakyat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. Namun, jika semua hutan ditutup, di mana pendaki mahu melakukan aktiviti yang diminati itu.

Sebelum ini, semua laluan mendaki di Bukit Tabur, Taman Melawati, Ampang, Selangor ditutup kepada pendaki selepas mencatatkan banyak kemalangan maut.

Selepas lebih setahun, Bukit Tabur masih ditutup dan tiada tanda-tanda ia akan dibuka semula meskipun lokasi itu menjadi kegemaran pendaki di seluruh negara.

Alhamdulillah, kami berjaya sampai ke puncak dan pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.